Ambil tindakan tegas pihak hina Sultan Selangor - Najwan
- Akmal Manaf

- 15 hours ago
- 1 min read

Pihak berkuasa digesa menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan tegas terhadap satu akaun media sosial yang dipercayai memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Najwan Halimi (gambar) berkata, tindakan berkenaan jelas melampaui batas dan sangat biadab malah merupakan satu bentuk provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan dan menggugat keharmonian negeri serta negara.
"Saya mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan satu akaun media sosial menggunakan nama Huayan The Pureland Learning Center yang dipercayai memuat naik hantaran berupa imej suntingan seekor khinzir berpakaian istiadat bertujuan menghina Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
"Sebagai anak jati negeri Selangor yang taat dan kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, saya sendiri merasa amat terhina tatkala melihat suntingan imej yang ditularkan ini," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, imej suntingan tersebut tular di media sosial dan mengundang kemarahan masyarakat.
Susulan penularan imej itu, beberapa Exco Kerajaan Negeri Selangor turut meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan tegas terhadap hantaran tersebut yang disifatkan sebagai tindakan melampau, biadab dan tidak boleh diterima sama sekali dalam sebuah negara yang berteraskan Perlembagaan dan Rukun Negara.
Exco Perumahan dan Kebudayaan, Datuk Borhan Aman Shah berkata, tindakan berkenaan adalah satu bentuk penghinaan serius terhadap Institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi payung kepada kestabilan dan keharmonian negara.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr Mohammad Fahmi Ngah pula berkata, tindakan memuat naik suntingan gambar menghina dan mengaitkannya dengan Sultan Selangor boleh mencetuskan ketegangan dalam kalangan rakyat.




Comments