top of page

Ambil tindakan segera lindungi penduduk Gaza - IAIS Malaysia



Oleh: Helmi Mohd Foad


Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia memuji Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas keputusan interimnya pada Jumaat lalu yang mendapati Israel telah melanggar Konvensyen Genosid 1948 dan diarahkan mencegah pembunuhan beramai-ramai.


Pengerusinya Prof Dr Maszlee Malik berkata, keputusan bersejarah itu merupakan satu kejayaan besar bagi isu Palestin dan bukti peranan ICJ sebagai penjaga undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.


"Institut menyanjung tinggi ICJ atas keberanian dan integritinya dalam menangani dakwaan besar pembunuhan beramai-ramai terhadap Israel yang telah menyebabkan rakyat Palestin mengalami penindasan, pendudukan dan keganasan selama beberapa dekad.


"ICJ mengeluarkan enam langkah sementara yang memerlukan Israel menghentikan operasi ketenteraannya di Gaza, mencegah dan menghukum sebarang hasutan untuk pembunuhan beramai-ramai, menarik balik sekatannya dan membenarkan akses kemanusiaan...," katanya dalam satu kenyataan.


Bagaimanapun, Maszlee menjelaskan IAIS Malaysia kesal kerana ICJ tidak mengarahkan gencatan senjata penuh yang penting untuk menamatkan keganasan dan penderitaan di Gaza.


"Institut ini hairan mengapa mahkamah tidak mengambil langkah ini, memandangkan implikasinya terhadap situasi kemanusiaan dan penyelesaian konflik," kata beliau.


Dalam keputusannya pada Jumaat lalu, ICJ mengarahkan Israel melaksanakan enam langkah sementara termasuk mencegah pembunuhan beramai-ramai di Gaza, memastikan tenteranya tidak lagi melakukan sebarang tindakan genosid serta mencegah dan menghukum sebarang hasutan ke arah genosid.


Kes ke ICJ dibawa oleh Afrika Selatan.


Israel juga diarah membenarkan bantuan kemanusiaan memasuki Gaza, menghalang pemusnahan dan memastikan pemeliharaan bukti yang berkaitan dengan dakwaan genosid dan mengemukakan laporan kepada ICJ mengenai semua langkah yang diambil dalam melaksanakan perintah berkenaan dalam tempoh sebulan.


Maszlee berkata IAIS Malaysia juga mendesak ICJ untuk membuat susulan dengan penghakiman penuh mengenai merit kes itu bagi memastikan Israel bertanggungjawab atas jenayahnya dan memastikan keadilan serta pampasan bagi mangsa.


Menurut beliau, IAIS Malaysia juga menekankan keperluan penguatkuasaan keputusan ICJ yang bersifat mengikat undang-undang dan mandatori bagi semua pihak.


"Institut menyeru Israel untuk menghormati dan mematuhi arahan mahkamah dengan memberi amaran bahawa sebarang tindakan membantah atau menghalang akan membawa akibat serius terhadap kedudukan dan hubungannya di peringkat antarabangsa," katanya.


IAIS Malaysia juga menggesa masyarakat antarabangsa khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyokong dan mengukuhkan keputusan ICJ dengan mengambil tindakan serta sekatan konkrit terhadap Israel bagi setiap ketidakpatuhan.


"Akhir sekali, IAIS Malaysia menyatakan solidariti dan sokongan teguhnya terhadap rakyat Palestin dan tuntutan hak mereka terhadap penentuan nasib sendiri, kedaulatan dan maruah seperti yang diperakui oleh pelbagai resolusi PBB dan undang-undang antarabangsa," katanya lagi.


Institut itu turut memuji Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ketegasan pendirian beliau dalam isu Palestin dan menyokong pendirian diplomatik kerajaan Malaysia yang lama terhadap Palestin, rekod bantuan kemanusiaannya serta gesaannya agar Palestin diterima sebagai anggota penuh PBB.

0 comments

コメント


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page