
Pelakon kontroversi, Farid Kamil yang membintangi filem terbaharu berkisar perjuangan ikon Reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1990an, mengejutkan hadirin dalam kempen di parlimen Bandar Tun Razak malam tadi dengan penampilannya di pentas politik.
Farid yang berceramah memberitahu beliau baharu pulang setelah menyelesaikan penggambaran filem berjudul Anwar di Indonesia dan menceritakan bagaimana berbelah bahaginya beliau untuk menerima watak tersebut pada peringkat awal.
"Apa yang menarik, macam mana saya dapat tawaran memegang watak Anwar ini. Saya dapat panggilan telefon dari Zunar kartunis. Bila saya dapat tawaran, dia tanya 'hang nak pegang tak satu watak kontroversi?'. Saya cakap nak, saya tak tau dia tawar watak apa.
"Tetapi apabila dia bagi skrip, tertulis 'perjuangan masih panjang'. Itu membuat saya menelaah skrip tersebut satu per satu perkataan. Saya melihat dan minta bahan rujukan.
"Dia bagi saya report polis dan laporan perubatan apa yang terjadi kepada bekas Timbalan Perdana Menteri ketika itu. Saya tak boleh berlakon (melakonkan), saya takut. Macam mana saya nak bawa watak itu ke dalam layar lebar, yang tokohnya masih lagi aktif di dalam arena politik," katanya.
Bagaimanapun semua bolak balik perasaan itu, kata Farid, reda sebaik sahaja beliau mendapat kekuatan dari restu ibunya yang bertegas menyuruhnya mengambil watak tersebut demi menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia bukanlah negara gagal yang tidak lagi mempunyai pemimpin yang boleh diharap.
"Saya bagi ibu saya baca skrip tersebut. Sejam kemudian ibu saya call, Kamil kamu ambil tawaran berlakon ini. Sebab apa? Sebab kamu kena tunjuk kat dunia bahawa di Malaysia masih ada pemimpin seperti Anwar Ibrahim," katanya.
Oleh itu, beliau menyeru rakyat Malaysia yang mengundi pada 19 November ini untuk memenangkan PH dan Anwar bagi mengembalikan kegemilangan negara yang telah terpendam sejak 1990an lalu.
"Kita undi PH bagi menang. Kalau tak undi susah kita nak tengok PM ke 10 yang anti korupsi. Dia pernah menolak RM4 juta macam itu saja. Kalau orang tak ada duit, dia tak mau ke duit RM4 juta?
"Kita rakyat Malaysia tak patut makan dedak, tak patut makan rasuah," katanya lagi.