Nurul Izzah Anwar menyeru rakyat mengambil iktibar daripada pelbagai cabaran dan dugaan yang dilalui sepanjang tahun 2020 supaya boleh menjadikan 2021 tahun yang lebih baik.
Ahli Permatang Pauh itu berkata tahun 2020 menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mampu bersatu padu dan tolong-menolong antara satu sama lain ketika berdepan dengan masalah yang timbul akibat wabak pandemik Covid-19.
"Sepanjang 2020 kita bertarung, gelombang demi gelombang, duka silih berganti, tidak sesekali rakyat Malaysia putus asa, malah terus bermuafakat merentas bangsa dan agama. Saling mengingatkan, saling menghulurkan bantuan. Itulah semangat sepasukan rakyat Malaysia.
"Namun sudah tentu kita mengimpikan masa depan yang damai, bebas dari ketakutkan, selamat buat generasi mendatang. Anak-anak dapat meneruskan pengajian, ibu dan bapa bertugas menjalankan kewajipan.
"Namun, kemelut ini tidak akan berakhir sekiranya kita tidak sama-sama menginsafi dan mengambil iktibar daripadanya dan terus meneguhkan benteng melawan wabak Covid-19," katanya.
Justeru, Izzah berharap tahun baru 2021 dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan Covid-19 dapat diatasi jua pada tahun ini.
"Alhamdulillah diberi kesempatan bertemu 2021, semoga pelayaran ini tidak disia-siakan. Mudah-mudahan ianya menjadi kesempatan agar kita dapat melabuhkan tirai Covid-19.
"Teruskan mengemudi pelayaran ini dengan usaha, doa dan tawakal. Selamat menyambut tahun baharu 2021," katanya.
ความคิดเห็น