top of page

Ambil alih kerajaan sekarang atau tunggu PRU 15?

Updated: Jun 7, 2020




Oleh Redzuan Shamsudin


Pelbagai isu selingkar politik semasa tanah air timbul sejak Ramadan lalu membawa ke Syawal. Oleh kerana negara masih dalam belenggu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), suasana Hari Raya Aidilfitri tidaklah semeriah pada hujung 1990an lalu, ketika arus Reformasi menerjang negara dan aksi tunjuk perasaan di Kuala Lumpur menjadi sebahagian daripada ‘gosip pedas’ musim perayaan.


Menyorot kenangan Aidilfitri 1999, balik kampung merupakan cara kempen berkesan anak-anak muda yang bekerja di ibu kota menyampaikan perkhabaran kepada keluarga mengenai kezaliman rejim BN yang dikaburkan media arus perdana. Kesannya, dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 29 September tahun itu, Terengganu tumbang ke tangan Barisan Alternatif (BA), begitu juga 1/3 DUN Kedah. Di Perak dan Selangor, BA menang beberapa kerusi pengundi majoriti Melayu.


Namun situasi PKPB pada 2020 ini menghalang kebenaran diceritakan secara lisan. Bagaimanapun konspirasi yang berlaku pada Februari lalu masih boleh dikempenkan melalui media sosial. Aplikasi WhatsApp, Facebook dan Instagram menjadi medium penyebar maklumat era melenium.


Ambil alih semula kerajaan


Dalam perbincangan netizen mengenai situasi politik terbaharu, tidak kurang yang memperdebatkan apakah perlunya Pakatan Harapan (PH) segera mengambilalih kerajaan memandangkan majoriti Perikatan Nasional (PN) begitu tipis. PN hanya bergantung kelebihan 1 – 2 kerusi untuk terus mengekalkan PM Muhyiddin Yassin di tampuk kuasa. Pembelotan 2 – 3 ahli parlimen sudah cukup untuk meruntuhkan kerajaan.


Maka pelbagai hujah diketengahkan. Tidak kurang yang berpendapat PH tidak perlu mengambil semula pemerintahan dalam suasana kacau bilau wabak Covid 19. Namun hujah ini lemah kerana Covid mungkin berterusan sehingga pertengahan tahun 2021. Adakah PH perlu melakukan morotarium ‘Langkah Putrajaya’ sehingga tempoh itu? Sedangkan Kerajaan Negeri Kedah ditumbangkan dalam suasana Covid dan dalam bulan Ramadan pula. Anehnya, tidak ada Melayu Umno yang bising tindakan itu melanggar kesopanan atau alim ulama Pas memfatwakan berdosa. Jadi apa masalahnya peralihan kuasa ketika Covid?


Hujah yang lebih bernas berputar di sekitar masalah ekonomi. Rakyat Malaysia, tertamanya orang Melayu masih seronok berbulan madu di bawah PN. PKP tempoh hari dan internet percuma digunakan untuk mendakyah betapa bertuahnya menikmati wang saku dan makanan percuma tanpa perlu bekerja. Seolah-olah rezeki datang dari langit. Betapa berkatnya rakyat bernaung di bawah kerajaan Melayu-Islam.


Oleh itu, terdapat juga hujah betapa tidak perlunya melakukan Undi Tidak Percaya pada sesi Parlimen Julai ini. Bagi mereka biarkan orang Melayu yang terpesona itu dibuang kerja terlebih dahulu menjelang hujung tahun. Apabila mereka kesempitan hidup maka pujian akan bertukar menjadi caci maki ke atas PN.


Fikiran rasional


Bagaimanapun terdapat pihak yang berfikiran lebih rasional, mereka berhujah perlunya kerajaan diambil alih dalam tempoh beberapa bulan ini memandangkan ekonomi negara akan semakin hancur di tangan PN. Dengan jawatan GLC difaraid seolah-olah harta pusaka keluarga, maka Malaysia harus diselamatkan. Sekiranya dana GLC lesap, hutang negara menggunung maka tentunya negara akan melutut kepada Tabung Kewangan Antarabangsa kelak.


Hakikatnya, mengambil semula pemerintahan perlu dilakukan sebelum terlambat. Ketika ini jawatan sedang diagih-agihkan kepada setiap ahli parlimen. Apabila proses tersebut selesai maka tender dan kontrak pula akan diangihkan kepada kroni. Menjelang pertengahan tahun hadapan dijangka ahli parlimen dan para keluarga mereka telah pun kaya raya. Sangat sukar untuk memujuk berpaling menyokong PH.


BN sedia hadapi PRU


Bagi penyokong PH yang anti Mahathir, mereka menolak Bersatu untuk terlibat bersama PH sekali lagi dan mahukan satu strategi berkesan menuju PRU 15 untuk menang dengan penuh bergaya.


Mungkin inilah hujah yang paling sukar direalisasikan. Penyokong mind set ini tidak sedar PH tanpa parti-parti pembangkang lain sukar menakluki Putrajaya. Pembangkang pernah mencubanya pada PRU 13 lalu. Tiga parti berjuang menentang BN dalam Pakatan Rakyat (PR). Momentum kebangkitan rakyat diusahakan sejak 2011. Malah majoriti pemerhati politik meramalkan BN akan kalah pada PRU 2013.


Sebaliknya berlaku. PM Najib menang selesa dengan majoriti yang tidak boleh ditawar-menawar untuk berpaling kepada PR. Bagaimana BN menang? Tentunya melalui proses yang dirancang rapi dengan pelbagai penipuan, termasuk penggunaan dakwat kekal yang boleh dibasuh, pengundian berkali-kali oleh individu sama, juga pendatang Bangladesh serta Indonesia ditangkap membuang undi. BN yang telah bersedia melakukan muslihat dengan hebat sekali.


Suasana PRU 13 tidak jauh berbeza dengan sekarang. PN bersedia untuk melakukan pelbagai cara menggagalkan usaha PH. Tidak mustahil dakwat yang digunakan kelak tidak lagi kekal. Manakala pengerusi SPR mungkin ditukar menjelang PRU.


Faktanya, kekalahan BN pada PRU 14 lalu kerana ‘over confident’. Mereka meramal menang besar kerana faktor persempadanan semula kawasan pilihan raya (2017) dan kehancuran Pakatan Rakyat (2015). BN meremehkan gelombang kebangkitan rakyat mendengar ceramah berbulan-bulan sejak PH mengisytiharkan Tun Mahathir sebagai calon PM. Kealpaan menyebabkan mereka tersungkur.


Perang saraf tentera siber PN


Sebagai bukti awal PN bersiap untuk menghadapi PRU 15 adalah perancangan rapi tentera siber (cytro) yang didanai jutaan ringgit. Cytro PN memainkan isu kesalahan-kesalahan teknikal PH ketika memerintah. Bagi rakyat yang banyak membaca tidak ada masalah untuk menapis maklumat tersebut, namun majoriti orang Melayu mereka percaya kepada hujah-hujah separuh masak yang dilemparkan.


Malah PH yang berhempas pulas menerangkan Langkah Sheraton penyebab berlakunya pandemik Covid 19 selepas tiada jangkitan baharu baharu selama seminggu juga berjaya diputarbelitkan. Hujah cytro kononnya perletakkan jawatan Tun Mahathir merupakan punca utama kerana tiada Menteri Kesihatan yang memantau situasi selama 2 minggu.


Hakikatnya, Mahathir meletak jawatan kerana PH hilang majoriti. Tidak ada kena mengena dengan Covid. Hujah yang paling tepat ialah kebodohan PM Muhyiddin tidak melantik Menteri Kesihatan sehingga selepas seminggu mengangkat sumpah. Dan Menteri Kesihatan yang dilantik pula tidak setaraf Dr Dzulkifly Ahmad, beliau hanya menyarankan ‘minum air suam untuk membunuh virus’.


Satu lagi hujah yang mulai menghilangkan sokongan Atas Pagar PH ialah ‘bagusnya’ kerajaan Melayu-Islam Muhyiddin. Kononnya Muhyiddin berjaya menghilangkan sifat korupsi Umno dan sifat ekstremis Pas. Mereka tidak sedar dalam perancangan Umno, Muhyiddin serta PN tidak lagi wujud selepas PRU 15. Bersatu tidak akan diberi bertanding lebih 20 kerusi. Pada fikiran waras siapakah PM selepas PRU jika Umno mempunyai bilangan Ahli Parlimen terbanyak? Bukankah kleptokrat Najib?


Keadaan getir


Sekiranya kerajaan gagal diambilalih oleh PH pada 2020, keadaan di hadapan kemungkinan lebih sukar. Malaysia akan terus digenggam oleh perasuah. Sokongan rakyat dibeli melalui amalan ‘cash is king’. Ekonomi negara akan mereput selepas itu. Rakyat Malaysia khususnya Melayu yang dibuai mimpi hanya akan berubah apabila negara benar-benar muflis.


Tempoh itu tentunya amat jauh dan tidak terjangkaukan oleh pemimpin-pemimpin utama PH yang ada sekarang. Mungkin hanya pada era generasi baharu kepimpinan, sejarah 9 Mei 2018 akan berulang semula.


Kesimpulannya, kerajaan perlu diambil alih. Proses itu tidak boleh dilihat salah kerana PH membentuk semula kerajaan mandat rakyat dan bukannya secara ‘tebuk atap’.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page