Amang seksual libatkan remaja: Kenakan hukuman lebih berat - Wanita KEADILAN Sabah
- Redzuan Shamsudin

- 52 minutes ago
- 2 min read

Wanita KEADILAN Sabah menyuarakan kecaman keras terhadap satu kes amang seksual yang melibatkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di Beaufort, sambil menegaskan bahawa jenayah sedemikian tidak boleh dipandang ringan.
Exco Wanita KEADILAN Pusat, Junaidah Makku (gambar) berkata, pihaknya memandang serius kejadian tersebut yang disifatkan sebagai satu pencabulan terhadap maruah dan hak kanak-kanak.
"Kes seperti ini bukan sahaja mencabul maruah dan hak seorang kanak-kanak, malah merupakan satu jenayah berat yang tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana pihak. Kanak-kanak seharusnya dilindungi, dibimbing dan diberikan ruang untuk membesar dalam persekitaran yang selamat," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Sabah menegaskan bahawa kanak-kanak seharusnya dilindungi, bukannya menjadi mangsa kepada perbuatan tidak berperikemanusiaan.
Dalam pada itu, Wanita KEADILAN Sabah juga memuji pihak berkuasa atas tindakan pantas dalam mengendalikan kes berkenaan.
"Wanita KEADILAN Sabah merakamkan penghargaan kepada pihak Polis Diraja Malaysia khususnya IPD Beaufort atas tindakan pantas menahan suspek dan menjalankan siasatan lanjut demi memastikan keadilan dapat ditegakkan," ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau menuntut agar tindakan tegas diambil terhadap pelaku tanpa sebarang kompromi.
"Kami turut mendesak agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap pelaku serta memastikan hukuman yang setimpal dikenakan sekiranya didapati bersalah di mahkamah," katanya.
Tambahnya, hukuman yang lebih berat penting sebagai pengajaran bagi mencegah jenayah seksual, khususnya terhadap wanita dan kanak-kanak bawah umur.
Pada masa sama, Wanita KEADILAN Sabah menyeru masyarakat agar memainkan peranan aktif dalam melindungi golongan rentan daripada menjadi mangsa gangguan dan eksploitasi.
"Kesedaran masyarakat, pendidikan awal serta tindakan segera terhadap sebarang laporan perlu diperkasakan agar kejadian seumpama ini tidak terus berulang," katanya.
Menurut beliau, tiada tempat bagi pelaku jenayah seksual dalam masyarakat yang bertamadun.
"Sebarang bentuk kekerasan, gangguan dan jenayah seksual harus dihentikan segera. Tiada ruang untuk pelaku jenayah seksual dalam masyarakat yang bertamadun dan berperikemanusiaan," tegasnya.



Comments