Amanat Tahun Baharu PM fokus kebajikan generasi muda - Srikandi KEADILAN
- Suara Keadilan

- 4 days ago
- 1 min read

Srikandi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menyambut baik Amanat Tahun Baharu yang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin, yang disifatkan jelas memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat serta memperkukuh masa depan generasi muda negara.
Ketua Srikandi KEADILAN, Nurhidayah Che Rose berkata, antara langkah penting yang wajar diberi perhatian ialah komitmen kerajaan memastikan kebajikan mahasiswa terus terpelihara melalui peruntukan RM15 juta bagi pelaksanaan Program Bank Makanan Dapur Mahasiswa.
"Inisiatif ini membawa mesej jelas bahawa kebajikan pelajar terus menjadi keutamaan," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, Srikandi KEADILAN turut menyokong pemberian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 kepada setiap pelajar tanpa mengira pendapatan ibu bapa, melibatkan peruntukan keseluruhan RM800 juta.
"Langkah memperkukuh Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) melibatkan peruntukan RM15 bilion kepada 9 juta penerima, serta pengumuman SARA Untuk Semua RM100 kepada 22 juta rakyat pula, mencerminkan pendekatan inklusif kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat," ujarnya.
Dalam aspek kos sara hidup, Nurhidayah menegaskan bahawa usaha mengawal tekanan perbelanjaan harian melalui pelaksanaan Harga Rahmah, termasuk 23,000 Jualan Rahmah MADANI dan 5,000 Jualan Agro MADANI, amat signifikan khususnya kepada keluarga dan wanita muda.
"Srikandi KEADILAN yakin inisiatif ini mampu membina asas yang lebih kukuh untuk generasi masa depan dan akan terus menyokong pelaksanaannya di peringkat akar umbi," katanya lagi.
Inisiatif membantu perbelanjaan rakyat merupakan antara intipati dalam Amanat Tahun Baharu PM kelmarin di samping meneruskan reformasi institusi sebagaimana dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum 2022 lalu.









Comments