
Rayuan pengampunan bekas Perdana Menteri Najib Razak yang dihukum penjara 12 tahun dan sedang dalam pertimbangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diyakini akan dilaksanakan dengan penuh prinsip dan kesaksamaan.
Naib Presiden Amanah, Hasanuddin Mohd Yunus berkata, titah Yang di-Pertuan Agong ketika merasmikan Kompleks Mahkamah Syariah Pahang di Kuantan semalam menekankan keadilan Islam tidak sama sekali memberi sebarang keistimewaan atau pengecualian kepada sesiapa yang melakukan kesalahan sama ada diri sendiri, teman rapat, ahli keluarga mahupun ibu dan bapa menunjukkan ketegasan baginda.
"Kami yakin, Tuanku Yang di-Pertuan Agong akan mempertahankan prinsip ini dalam semua hal ketika membuat keputusan selaku Ketua Negara demi kepentingan rakyat dan negara ini.
"Ia juga termasuk ketika mempertimbangkan rayuan pengampunan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri Najib Razak yang dijatuhkan hukuman bersalah mencuri wang RM42 juta milik SRC International oleh sembilan hakim iaitu seorang hakim Mahkamah Tinggi, tiga hakim Mahkamah Rayuan dan lima Hakim Mahkamah Persekutuan," kata Ahli Parlimen Hulu Langat itu dalam satu kenyataan.
Semalam Agong bertitah, “Prinsip keadilan yang telus lagi terbuka turut berjaya membangunkan satu masyarakat yang adil, saksama, makmur dan sejahtera. Prinsip keadilan menurut Islam adalah menjunjung amanah Tuhan.
“Kuasa menghukum dan memberi pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya kerana ianya bakal dipertanggungjawabkan kelak di hari kemudian.
“Jika undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil nescaya keadilan tidak akan tercapai, kerana falsafah di sebalik penggubalan sesuatu undang-undang itu telah ternoda,” titah baginda dalam majlis tersebut.
Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan dana RM42 SRC International.
Najib memfailkan permohonan pengampunan diraja pada 2 September lalu. Sekiranya tidak diampunkan statusnya sebagai Ahli Parlimen akan berakhir selepas keputusan rayuan diumumkan.
Comments