top of page

AMANAH sokong Belanjawan 2026 beri maksimum sektor pendidikan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 13
  • 2 min read
ree

Parti Amanah Negara (AMANAH) menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas komitmen tinggi terhadap masa depan pendidikan negara melalui peruntukan RM66.2 bilion kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam Belanjawan 2026 — meningkat daripada RM64.2 bilion tahun lalu.


Menurut Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH, Azli Yusof (gambar), langkah tersebut membuktikan keprihatinan kerajaan untuk memperkukuh sistem pendidikan sebagai teras kemajuan negara bangsa.


AMANAH juga, katanya menyambut baik inisiatif pembinaan 38 sekolah baharu di seluruh negara. Parti itu turut memuji peruntukan hampir RM1 bilion bagi menaik taraf lebih 520 sekolah daif, khususnya di Sabah, Sarawak dan kawasan luar bandar, yang disifatkan sebagai langkah menoktahkan ketidaksamaan antara wilayah.


"Usaha ini akan mengurangkan kepadatan bilik darjah serta mempercepat akses pendidikan berkualiti kepada anak-anak di kawasan pesat membangun," katanya dalam kenyataan.


Selain itu, beliau menyanjung peruntukan RM5.6 bilion bantuan persekolahan termasuk Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sehingga pelajar Tingkatan 6, Biasiswa Kecil Persekutuan dan Rancangan Makanan Tambahan, yang dilihat mencerminkan pendekatan inklusif kerajaan.


Dalam masa sama, AMANAH menyokong peruntukan RM18.6 bilion kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memperkukuh universiti awam, politeknik dan kolej komuniti, termasuk RM401 juta untuk penyelenggaraan dan penggantian peralatan usang.


"Langkah kerajaan memperluas peluang pendidikan kepada golongan berpendapatan rendah melalui pendidikan percuma PTPTN untuk 5,800 pelajar daripada keluarga miskin (peruntukan tahunan RM120 juta).


"Begitu juga dengan pengecualian bayaran balik PTPTN kepada kira-kira 6,000 peminjam yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama dari keluarga berpendapatan rendah dan sederhana (RM90 juta). Ini adalah pelaburan besar dalam mobiliti sosial anak muda Malaysia," jelasnya.


Beliau turut mengalu-alukan peningkatan peruntukan TVET kepada RM7.9 bilion, yang disifatkan sebagai tonggak kepada pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi sejajar keperluan industri masa depan.


Dalam aspek pendidikan khas, AMANAH menyambut baik pembinaan dua sekolah baharu Pendidikan Khas di Selangor dan Kelantan serta kemudahan mesra OKU bernilai RM30 juta. Kerajaan juga memperuntukkan RM270 juta elaun kepada 150,000 murid OKU, yang dilihat sebagai manifestasi keadilan sosial.


"Keutuhan dasar ini mesti diterjemahkan melalui pelaksanaan yang cekap, telus dan berfokus kepada hasil, agar manfaat peruntukan benar-benar sampai kepada sekolah luar bandar, pelajar miskin, anak Orang Asli dan komuniti marginal.


"AMANAH akan terus memainkan peranan aktif memantau serta menyokong pelaksanaan dasar ini bagi memastikan setiap ringgit memberi impak maksimum," tegas beliau.


Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak — termasuk guru, ibu bapa, pelajar dan NGO pendidikan — agar bersama-sama menjayakan agenda pendidikan Kerajaan Madani.


"Dengan iltizam kerajaan dan sokongan rakyat, kita mampu melahirkan generasi muda Malaysia yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing di pentas dunia," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page