Amanah puji tindakan Itali, Sepanyol bantu misi flotilla ke Gaza
- Suara Keadilan

- Sep 25
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Parti Amanah Negara menyambut baik tindakan kerajaan Itali dan Sepanyol yang menghantar kapal tentera laut bagi membantu misi flotilla kemanusiaan ke Gaza selepas serangan dron baru-baru ini.
Presidennya Datuk Seri Mohamad Sabu (gambar) berkata langkah berani itu membuktikan masih ada negara yang sanggup mengambil risiko bagi memastikan bantuan sampai kepada rakyat Palestin walaupun dunia seakan berdiam diri.
"Itali dan Sepanyol telah membuktikan bahawa mereka bukan hanya terbatas kepada retorik kosong semata-mata, tetapi sanggup menunjukkan keberanian moral dengan tindakan nyata," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau dalam masa sama melahirkan rasa kecewa dengan dunia Arab yang dilihat terus bergantung kepada Amerika Syarikat, sedangkan Palestin menuntut keberanian, kesatuan dan tindakan lebih tegas daripada saudara seagama mereka.
Mohamad menegaskan Palestin adalah ujian moral kepada seluruh umat manusia yang berhak hidup dalam keadaan aman, bebas daripada kepungan zalim serta mendapat akses kepada makanan dan ubat-ubatan.
"Tindakan Itali dan Sepanyol perlu menjadi inspirasi bahawa solidariti dengan Palestin tidak mengenal sempadan bangsa, agama atau benua," katanya lagi sambil menggesa negara Islam agar tampil dengan keberanian yang sama, bukan sekadar melaungkan slogan di pentas persidangan.
Misi flotilla Sumud (“keteguhan” dalam bahasa Arab) digerakkan oleh aktivis antarabangsa bagi membawa bekalan makanan dan perubatan ke Gaza yang dikenakan sekatan rejim Israel sejak lebih 17 tahun lalu.
Kapal pertama misi itu berlepas dari pelabuhan Turkiye pada Julai lalu membawa sukarelawan dari lebih 30 negara termasuk Malaysia.
Namun, perjalanan mereka berdepan serangan dron Israel di perairan antarabangsa yang menyebabkan seorang aktivis terkorban manakala beberapa yang lain cedera.
Susulan insiden itu, tindakan Itali dan Sepanyol menghantar kapal perang bagi memberi perlindungan dilihat sebagai perkembangan penting, sekali gus membuka ruang agar flotilla kemanusiaan dapat meneruskan misi mereka ke Gaza.
Mohamad mengingatkan bahawa solidariti bersama Palestin adalah kewajipan bersama.
"Sejarah akan mengingat siapa yang benar-benar berdiri mempertahankan keadilan, dan siapa yang sekadar menunggu sisik tumbuh pada ikan keli," katanya.









Comments