Ketidaktentuan majoriti kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Parlimen memungkinkan pilihan raya umum mengejut diadakan.
Hal itu tidak boleh dipandang mudah kerana parti komponen PN dispekulasikan mula mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membubarkan Parlimen agar mereka boleh menang dalam pilihan raya umum ke 15 (PRU 15)
Sehubungan itu, Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak mengarahkan jentera parti itu memulakan gerak kerja pilihan raya bermula 1 Jun ini bagi persediaan kemungkinan berlakunya PRU untuk kawasan Parlimen.
Naib Pengerusi AMANAH Perak, Dr Muhaimin Sulam dalam satu kenyataannya berkata, PRU mengejut tidak boleh dipandang ringan apabila cadangan pembubaran Parlimen ditimbulkan oleh Umno dan Pas.
“Mesyuarat Sekretariat Parlimen PH perlu diaktifkan semula berdasarkan sebarang kemungkinan di masa yang terdekat kini,” katanya dalam satu kenyataan.
AMANAH Perak juga, menurut Muhaimin mahu Mesyuarat Majlis Presiden dan Majlis Pimpinan Negeri memuktamadkan pembahagian kerusi segera agar jentera parti dapat fokus gerak kerja secara lebih berkesan
"Gerak kerja perlu terfokus untuk meraih kemenangan yang lebih besar selepas ini. Kita mengharapkan isu-isu berbangkit juga diselesaikan lebih awal,” sambungnya
Arahan bersiap sedia tersebut dikeluarkan memandangkan krisis dalaman Bersatu yang semakin parah dan kemungkinan beberapa ahli parlimen parti itu meninggalkan gabungan pemerintah.
Sekiranya hal itu terjadi maka kerajaan Perikatan Nasional sudah tidak mampu bertahan kerana tidak mempunyai majoriti yang cukup di Dewan Rakyat.
Comentários