
Parti Amanah Negara (AMANAH) terus kekal dengan amalan politik wasatiyyah atau bersederhana dalam negara berbilang kaum.
Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, parti itu sentiasa menolak politik ekstremisme agama atau perkauman seperti yang diperjuangkan pembangkang.
"AMANAH menolak sebarang bentuk ekstremisme sama ada dalam bentuk identiti kaum dan agama
"Islam yang yang diturunkan sebagai rahmat untuk semua menekankan sifat rahmah, adil, kasih sayang dan toleransi," katanya dalam Pidato Presiden sempena Konvensyen AMANAH 2025 di Klang, Selangor hari ini.
Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu, prinsip wasatiyyah jelas diutamakan dalam Islam yang menjamin keadilan, keseimbangan dan menjauhi sikap melampau dalam semua aspek kehidupan.
Katanya, Islam melarang sikap melampau (ghuluw) atau terlalu sederhana kerana kedua-duanya membawa kemudaratan kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Mohamad turut mencadangkan agar Kementerian Perpaduan Negara diberikan peruntukan khas dalam usaha mendidik masyarakat menolak ekstremisme dan asabiyah yang menular di Malaysia.
"AMANAH mengalu-alukan langkah kerajaan dalam membendung gejala ekstremisme agama dan asabiyyah melalui penguatkuasaan undang-undang dalam perkara 3R (kaum, agama dan raja).
"AMANAH mencadangkan agar Kementerian Perpaduan Negara diberikan peruntukan khas sewajarnya untuk menggerakkan usaha mendidik masyarakat dalam perkara ini.
"Kami mengharapkan lebih banyak perbincangan umum, seminar dan diskusi dapat dianjurkan dalam membincangkan bahaya ekstremisme agama dan asabiyyah untuk memahamkan masyarakat dalam perkara ini," katanya dalam Konvensyen Tahunan AMANAH ke-9.
Beliau juga bimbang dengan dakyah politik yang menguasai minda Melayu-Islam hari ini mencari cari kesalahan paling kecil sekalipun untuk diapi apikan menjadi arus perdana perjuangan kaum dan agama.
"Kempen-kempen perkauman disambut dengan emosi dan setiap kesilapan yang dilakukan oleh mana-mana kaum walaupun terpencil dijadikan bahan untuk mencemuh antara satu sama lain.
"Ekstremisme agama dan asabiyah kini menjadi musuh utama dalam pembentukan masyarakat Malaysia yang bersatu, harmoni dan sejahtera.
"Adalah malang bila ada kumpulan dan puak yang tidak bertanggungjawab membawa kempen dan mengapi-apikan semangat ekstremisme agama dan asabiyah sehingga sanggup mempertikaikan akidah sesama Islam demi meraih sokongan politik semata-mata," katanya lagi.
Dalam ucapan itu, Mohamad juga menyentuh fitnah Ahli Parlimen Kepala Batas terhadap pemimpin DAP, Lim Guan Eng, Lim Kit Siang dan Teresa Kok sebagai contoh sikap yang tidak layak diikuti oleh umat Islam.
Ujarnya, amat tidak wajar mempertahankan umat Islam yang menghina masyarakat bukan Islam dengan mengumpul derma bagi membayar pampasan setelah kalah saman di mahkamah.
Comments