top of page

Alih peruntukan LRT P Pinang ke jalan Gerik tidak faham pentadbiran - Lee

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 12
  • 2 min read
ree

Oleh: Akmal Manaf


Kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan yang mencadangkan agar kerajaan menangguhkan projek LRT Pulau Pinang, dan mengutamakan kerja menaik taraf Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik–Jeli, menggambarkan kecetekan pengetahuannya dalam pengurusan kewangan negara.


Itu reaksi Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung yang antara lain turut menyifatkan kenyataan tersebut sesuatu yang mengelirukan.


"Projek LRT di Pulau Pinang adalah sebahagian daripada Rancangan Induk Pengangkutan yang telah dirancang sejak bertahun-tahun dan merupakan langkah penting untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan berpenduduk padat.


"Sebaliknya, kemalangan tragis yang melibatkan pelajar UPSI berlaku di Jalan Gerik–Jeli, Perak di bawah bidang kuasa Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Unit Penyenggaraan Jalan Persekutuan (JKR).


"Dua perkara ini langsung tidak berkaitan dari segi lokasi, kementerian yang terlibat, mahupun jenis peruntukan.


"Adalah tidak bertanggungjawab untuk mencampur-adukkan dua isu yang jelas berbeza semata-mata untuk memperdayakan tragedi tersebut sebagai senjata politik," bidas beliau dalam kenyataan.


Dalam kenyataan sama, Chean Chung menyifatkan, menggunakan 'modal' tragedi untuk menyerang projek yang tidak mempunyai kaitan langsung, adalah sesuatu yang amat tidak sensitif apatah lagi terhadap mangsa yang terlibat.


Ujar beliau yang juga Pengarah Komunikasi KEADILAN Malaysia, Jalan Gerik–Jeli sememangnya memerlukan penambahbaikan dari semasa ke semasa, di samping memperketatkan tahap keselamatan kenderaan berat.


"Saya turut bersimpati dengan keluarga mangsa. Tetapi penyelesaiannya bukan dengan mencantas projek pembangunan lain dan perkara yang wajar dilakukan adalah menyalurkan peruntukan khas kepada KKR, mengarahkan tindakan segera oleh JKR Negeri dan Daerah dan memastikan semua jalan berisiko tinggi ditambah baik secara menyeluruh dan berterusan.


"Rakyat berhak mendapat maklumat yang tepat dan berasaskan fakta dan bukannya dimomokkan dengan naratif politik yang mengelirukan.


"Saya percaya, pembangunan sistem pengangkutan awam dan keselamatan jalan raya bukan isu yang perlu dipilih salah satu.


"Kedua-duanya penting dan mesti dilaksanakan serentak. Tapi bagi puak yang tertagih untuk memainkan isu walaupun dengan menyinggung perasaan keluarga mangsa, ini mungkin berbeza," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page