Albert Tei bukan whistleblower, hanya pelaku rasuah kecewa - AMK
- Suara Keadilan

- Dec 15, 2025
- 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menegaskan, ahli perniagaan Albert Tei bukan seorang whistleblower sebaliknya pelaku rasuah yang kecewa selepas gagal memperoleh projek penerokaan mineral di Sabah.
Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin (gambar) menerusi satu kenyataan berkata, istilah whistleblower tidak patut disalahgunakan demi kepentingan individu.
"Whistleblower ialah mereka yang lapor salah laku tanpa terlibat melakukan jenayah tersebut. Sejak bila pengakuan memberi rasuah mahu diangkat sebagai keberanian atau pengorbanan?" soalnya dalam satu kenyataan.
Tambah Danish, fakta paling memalukan dan cuba dipadam Albert Tei ialah dia terlebih dahulu mengaku memberi rasuah.
"Persoalan yang rakyat hendak tahu kenapa dan mengapa beliau merengek apabila beliau didakwa atas pengakuan beliau sendiri?
"Saya tegaskan sekali lagi, Albert Tei bukan whistleblower tetapi beliau adalah pelaku yang kecewa kerana gagal mendapatkan projek, seperti yang diakui dirinya sendiri. Jika projek itu diperoleh, kita semua tahu kisah ini tidak akan pernah didedahkan," katanya.
Danish turut menyelar kenyataan peguam Mahajoth Singh yang mewakili Albert Tei, yang dilaporkan mempersoalkan sikap pemimpin AMK kononnya membisu terhadap ahli politik yang dikaitkan dengan skandal rasuah Sabah.
Beliau menegaskan AMK konsisten menyokong tindakan tegas dan bebas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap sebarang salah laku rasuah, termasuk kes yang melibatkan mantan Setiausaha Politik (Setpol) Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
"Pendirian kami jelas dan konsisten sejak hari pertama, sesiapa yang ada dakwaan perlu membuat laporan kepada SPRM, siasat dan ambil tindakan. Titik. Tidak perlu drama, tidak perlu skrip simpati dan proses itu sedang berjalan.
"Dalam kes melibatkan Setpol Perdana Menteri sendiri, pendirian kami kekal konsisten dan terbuka. SPRM mesti menyiasat secara bebas tanpa tekanan politik dan mahkamah menentukan salah atau tidak.
"Jika prinsip ini diterima dalam kes tersebut, mengapa tiba-tiba hendak melalak bila prinsip sama digunakan ke atas Albert Tei?" tegasnya.









Comments