Hari Alam Sekitar 2020 menghidangkan persoalan yang merimaskan, kira-kira satu juta spesis flora dan fauna berdepan ancaman kepupusan dalam masa 10 tahun akibat kegiatan harian manusia.
Spesis hidupan liar pula mengalami kemerosotan atau kepupusan lebih 60 peratus dalam tempoh 50 tahun ke belakang.
Sehubungan itu, Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar rakyat Malaysia menghargai alam sekitar bagi memastikan kesinabungan spesis manusia itu sendiri.
"Amatlah penting untuk kita melindungi hidupan liar, merubah sikap kita dalam menghasil dan menggunakan sumber makanan, mendukung segala usaha ke arah mewujudkan prasarana yang mesra alam dan juga melakukan transformasi ekonomi sebagai ikhtiar dalam meletakkan manusia sebagai pelindung alam sekitar," kata Anwar dalam satu kenyataan.
Menurutnya, Hari Alam Sekitar pada tahun ini meletakkan elemen biodiversiti atau kepelbagaian sebagai tumpuan dengan tujuan merangkul usaha memerangi gejala kepupusan dan kemerosotan alam semulajadi.
Katanya, Malaysia telah diperakui sebagai antara 12 negara di dunia yang mempunyai ciri 'beranekaragaman' yang unik.
"Bertitik tolak dari ini, kerajaan Malaysia telah menumpukan usaha dalam mempertingkatkan kecekapan pengurusan, pemuliharaan dan pembangunan hutan yang beraneka rencam serta ragam.
"Kerajaan-kerajaan negeri harus segera menghentikan pemberian konsesi pembalakan di hutan-hutan simpan.
"Wabak Covid-19 juga telah memberi pengajaran yang cukup berguna betapa langkah dan persiapan awal amat mustahak dalam mendepani isu-isu mendesak yang mengancam manusia.
"Saat negara-negara di dunia sedang memikirkan bagaimana harus kita keluar dari kemelut ini, usah pula kita mengesampingkan aspek alam sekitar dalam apa jua perencanaan dan kebijakan di masa hadapan," katanya.
Dalam pada itu, Anwar melontarkan soalan apakah akan jadi kepada alam sekitar setelah kawalan pergerakan ditamatkan kelak? Semasa PKP, katanya, akibat kurangnya aktiviti manusia, hidupan marin seperti penyu telah kembali ke pantai-pantai di Port Dickson, begitu juga ikan lumba-lumba. Kualiti udara kita semakin baik, dan sungai-sungai tidak lagi dicemari.
Oleh yang demikian, menurut Anwar lagi, rakyat seharusnya memperbaiki sikap, terutama dalam mewujudkan dasar-dasar yang memungkinkan untuk hidup berdamping bersama alam semulajadi demi kelangsungan hidup kesemua makhluk di muka bumi.
Comments