Aktivis sosial perlu contohi SM Idris, tegas pertahan prinsip - PM
- Suara Keadilan

- 3 minutes ago
- 3 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru aktivis sosial di negara ini mencontohi pendekatan Allahyarham S.M. Mohamed Idris yang tegas mempertahankan prinsip, konsisten dalam isu pokok namun bijaksana dan beradab ketika berdepan kerajaan serta kuasa ekonomi.
Perdana Menteri berkata aktivisme sosial yang berkesan tidak dibina atas kebencian, sindiran atau cercaan sebaliknya melalui keteguhan nilai dan kesediaan untuk mendengar.
"Beliau [Mohamed Idris] keras dalam pendirian, tetapi tidak sinis. Pandangannya tidak berganjak dalam isu pokok, tetapi disampaikan dengan kebijaksanaan. Inilah yang perlu dipelajari oleh aktivis sosial hari ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap meraikan penerbitan buku The Man Who Could Move Mountains: Reflections on the Social Activism of S.M. Mohamed Idris di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Kuala Lumpur hari ini.
Hadir sama Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr. Johari Abdul, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader, Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) Meenakshi Raman dan Pengerusi IAIS, Dr. Maszlee Malik serta tokoh aktivisme antarabangsa Claude Alvares.
Turut hadir ahli keluarga Allahyarham Mohamed Idris serta wakil pertubuhan masyarakat sivil.
Menurut Anwar, meskipun pemimpin CAP itu sering mengkritik kerajaan secara terbuka melalui pertubuhan itu selain SAM dan Third World Network, hubungan kerja tetap terpelihara kerana kritikan tersebut berasaskan fakta dan nilai.
"Saya hadir dalam sidang CAP dan SAM bukan untuk merasmikan, tetapi duduk mendengar. Saya terpaksa menelan semua teguran itu. Tetapi hubungan kita tidak pernah rosak," katanya.
Beliau berkata, Allahyarham Mohamed Idris sentiasa mengingatkannya agar mendengar, memahami keterbatasan sistem dan memperbaiki dasar setakat yang termampu.
"Beliau akan menjadi sosok penenang yang mengingatkan saya supaya mendengar dan cuba memperbaiki. Pandangannya jelas, keras, tetapi penuh ihsan," ujar Anwar.
Anwar turut mengimbas kejayaan gerakan yang dipimpin Idris dalam menggagalkan cadangan pembangunan Bukit Bendera, walaupun projek itu didukung konglomerat besar serta kerajaan negeri dan Persekutuan ketika itu.
"Dengan satu tamparan, beliau mampu menggagalkan projek sebuah konglomerat besar. Tekanan itu meluas, hujahnya kukuh dan akhirnya projek itu dibatalkan," katanya.
Menurut Perdana Menteri kejayaan itu membuktikan bahawa aktivisme sosial yang tersusun, konsisten dan berprinsip mampu mengatasi kepentingan kapital besar.
"Jangan remehkan peranan aktivis sosial jika ia disusun dengan bijaksana, bukan dengan suara kebencian dan sindiran," tegas beliau.
Anwar turut melontarkan kritikan terhadap fenomena aktivisme selektif di mana sesetengah pihak lantang terhadap isu kecil tetapi senyap apabila berdepan salah laku berskala besar melibatkan golongan berpengaruh.
"Kita mudah bertindak terhadap pegawai kecil. Tetapi bila berdepan satu konglomerat berbilion ringgit, ramai yang diam termasuk aktivis," katanya.
Beliau menyifatkan sikap itu bertentangan dengan semangat perjuangan Idris yang berani berdepan sistem ekonomi yang tempang dan tidak adil.
"Beliau boleh berbaik dengan semua orang tetapi tidak pernah berganjak dalam isu prinsip. Ini keberanian moral yang jarang kita temui hari ini," ujar Anwar.
Anwar berkata pemikiran Mohamed Idris mendahului zamannya dan selari dengan gagasan Malaysia MADANI yang menolak pembangunan tanpa nilai, ihsan dan kemampanan.
"Tidak ada pembangunan tanpa nilai. Tidak ada kemampanan jika kesenjangan dibenarkan melebar. Ini pandangan yang beliau suarakan puluhan tahun lalu," katanya.
Beliau turut menyifatkan Allahyarham Mohamed Idris sebagai seorang yang sederhana dalam kehidupan tetapi luar biasa dalam keberanian dan keteguhan prinsip.
"Dari segi keberanian, kesederhanaan hidup dan keteguhan pendirian, beliau jauh lebih baik daripada apa yang saya mampu," kata Anwar.









Comments