top of page

Aktifkan gerak kerja, dekati masyarakat tanpa tunggu pilihanraya - Generasi KEADILAN

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 38 minutes ago
  • 3 min read

KEADILAN perlu melakukan penilaian secara terbuka terhadap perubahan pola sokongan rakyat, kekuatan organisasi dan kedudukan parti dalam landskap politik negara susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.


Penasihat Generasi KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (gambar) berkata penilaian itu turut perlu mengambil kira hubungan parti dalam Pakatan Harapan (PH) serta isu sebenar yang menjadi pertimbangan rakyat dalam menentukan sokongan politik.


"Pasca Pilihan Raya Negeri Johor dan Negeri Sembilan, KEADILAN perlu melakukan penilaian semula secara terbuka terhadap perubahan pola sokongan rakyat, kedudukan parti dalam landskap politik nasional, kekuatan organisasi, hubungan dalam Pakatan Harapan serta isu sebenar yang menentukan pertimbangan politik rakyat," katanya dalam kenyataan.


Beliau berkata demikian sempena Sidang Generasi KEADILAN 2026 yang berlangsung di Kobemas Hotel, Melaka, Sabtu lalu.


Menurut Shamsul Iskandar, perjuangan reformasi yang menjadi asas perjuangan KEADILAN mesti terus dipertahankan, namun pendekatan dan bahasanya perlu berkembang selari dengan perubahan zaman serta keperluan generasi semasa.


Sidang Generasi KEADILAN 2026 yang berlangsung di Kobemas Hotel, Melaka
Sidang Generasi KEADILAN 2026 yang berlangsung di Kobemas Hotel, Melaka

"Bahasa reformasi perlu sentiasa hidup bersama perubahan zaman dan menjawab persoalan generasi hari ini seperti kos sara hidup, pekerjaan, mobiliti sosial, pendidikan, perumahan, teknologi, kecerdasan buatan, perubahan iklim serta masa depan ekonomi negara," katanya.


Dalam hal ini, Sidang Generasi KEADILAN menggariskan kerangka 3P iaitu pemerkasaan, pemugaran dan pencaknaan sebagai antara agenda utama bagi memperkukuh parti menghadapi cabaran politik akan datang.


Pemerkasaan memberi tumpuan kepada pembangunan kemampuan anggota dan kepimpinan menerusi latihan politik secara sistematik termasuk proses kaderisasi yang lebih tersusun, jelas beliau.


"Pemimpin tidak boleh muncul secara kebetulan. Mereka mesti dikenal pasti, dilatih, diuji dan dibangunkan melalui proses kaderisasi yang tersusun," katanya.


Sehubungan itu, Shamsul Iskandar memberitahu, satu Modul Pelatihan Politik KEADILAN Berperingkat dicadangkan bermula daripada peringkat anggota, aktivis dan ranting, kepimpinan cabang sehingga kepimpinan strategik.


Katanya modul berkenaan dicadang merangkumi antaranya sejarah reformasi, perlembagaan, dasar awam, ekonomi, komunikasi politik, pengurusan organisasi, geopolitik, pentadbiran kerajaan dan reformasi institusi.


Dalam aspek pemugaran pula, Shamsul Iskandar berkata organisasi parti perlu kembali digerakkan sebagai sebuah gerakan politik yang aktif dari peringkat nasional, negeri, cabang dan ranting sehingga ke komuniti.


"Usaha itu perlu meliputi pembangunan kepimpinan, pengurusan organisasi, kaderisasi anggota, komunikasi dan penerangan, pemahaman dasar, pengurusan isu, khidmat masyarakat, pengurusan data, penggunaan media digital serta pembangunan bakat kepimpinan masa depan," ujarnya.


Sementara itu, Shamsul Iskandar berkata agenda pencaknaan dicadangkan menerusi gagasan “52 Minggu Bersama Anggota dan Rakyat” bagi memastikan gerak kerja parti bersama masyarakat tidak hanya berlangsung ketika musim pilihan raya.


"Setiap minggu mesti ada kegiatan yang menghubungkan pemimpin, anggota dan masyarakat sama ada melalui sesi mendengar masalah komuniti, gotong-royong, dialog ekonomi setempat, program anak muda dan keluarga, bantuan pendidikan, forum dasar atau gerakan sukarelawan.


"Jangan tunggu pilihan raya untuk turun kepada rakyat. Politik yang mempunyai akar tidak dibina dalam tempoh dua minggu kempen tetapi melalui hubungan yang dipelihara bertahun-tahun," tegasnya.


Dalam pada itu, Shamsul Iskandar berkata Generasi KEADILAN juga perlu mempunyai identiti politik yang jelas sebagai sebuah “kuasa ketiga” dalam parti tanpa mengambil alih atau bersaing dengan peranan sayap sedia ada.


Katanya, Generasi KEADILAN bukan pesaing kepada Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Wanita KEADILAN mahupun kepimpinan senior sebaliknya perlu berfungsi sebagai jambatan antara generasi.


"Generasi KEADILAN harus menjadi jambatan antara generasi yang membawa tiga fungsi utama iaitu kuasa fikir, kuasa kader dan kuasa pengimbang.


"Generasi ini cukup lama mengenali sejarah reformasi tetapi pada masa yang sama masih dekat dengan perubahan sosial, teknologi serta pemikiran generasi baharu," katanya.


Beliau berkata Sidang Generasi KEADILAN 2026 turut memperkenalkan konsep Medan Idea KEADILAN yang merangkumi enam bidang utama iaitu politik, ekonomi, Reformasi, organisasi, komunikasi dan generasi.


"Dengan pendekatan ini, kita mahu menjadikan sidang sebagai tempat idea dipertandingkan, bukannya individu dipertandingkan," katanya.


Selain itu, penubuhan Jaringan Jurubicara Generasi KEADILAN turut dicadangkan bagi membentuk rangkaian jurucakap yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu serta mampu menerangkan isu kepada rakyat secara berfakta, tersusun dan bertanggungjawab.


Antara bidang dicadangkan ialah ekonomi dan kos sara hidup, undang-undang dan reformasi institusi, pendidikan, kesihatan, belia, teknologi dan kecerdasan buatan (AI), hubungan antarabangsa, alam sekitar, wanita dan keluarga serta kerajaan tempatan.


Shamsul Iskandar berkata sidang itu juga disasarkan menghasilkan sekurang-kurangnya lima hasil konkrit iaitu Deklarasi Generasi KEADILAN 2026, Blueprint 3P KEADILAN, Modul Pelatihan Politik Berperingkat, Kalender 52 Minggu Bersama Anggota dan Rakyat serta Jaringan Jurubicara Generasi KEADILAN.


"Generasi KEADILAN mesti menjadi generasi yang berani berfikir tetapi bersedia bekerja dan menghormati sejarah tetapi tidak terperangkap dalam nostalgia; mempertahankan reformasi tetapi berani memberikan reformasi makna baharu untuk zamannya," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page