Kementerian Perpaduan Negara kini sedang membuat semakan Akta Rukun Tetangga 2012 sebelum dibawa ke Jemaah Menteri.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K. Saraswathy berkata, pihaknya mengambil langkah untuk membuat semakan dan pindaan kepada Akta Rukun Tetangga 2012 sejajar dengan cabaran serta keperluan semasa.
"Ia juga untuk memperkasakan lagi fungsi rukun tetangga mengikut bidang tumpuan yang sedang diberikan keutamaan oleh Jabatan Perpaduan Negara," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) mengenai status terkini semakan dan pindaan kepada Akta Rukun Tetangga 2012 untuk memperkasakan fungsi Komuniti Rukun Tetangga (KRT).
Mengulas lanjut, Saraswathy berkata, setakat ini, terdapat 8,428 KRT telah ditubuhkan di seluruh negara dengan keanggotaan sebanyak 210,000 orang meliputi 12.5 juta penduduk.
Oleh itu, katanya berkata fokus utama kementerian ketika ini adalah untuk menggerakkan inisiatif pemerkasaan KRT sebagai penggerak komuniti progresif menerusi lapan bidang tumpuan.
"Ia melibatkan ekonomi dan sara hidup, keselamatan dan ketahanan diri, kepimpinan, kesejahteraan komuniti, pembelajaran sepanjang hayat, alam sekitar, warisan budaya dan digital," ujarnya.
Jelasnya menerusi Belanjawan 2024, kementerian telah meluluskan RM 20 juta untuk memperkasakan KRT sebagai rujukan sosial bagi memupuk perpaduan dalam komuniti.
Selain itu, katanya, beberapa aktiviti dirangka untuk menggalakkan penyertaan golongan muda dalam KRT antaranya Program Young, Effective and Smart (YES), Jiran Muda, e-Usahawan dan Pasukan Inovasi Jiran Muda, Konvensyen Inovasi Komuniti, serta Pemerkasaan Jiran Muda.
Comments