Akta Perolehan Kerajaan: Ahli politik tidak boleh masuk campur, berdepan hukuman
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Rang Undang-Undang (RUU) Akta Perolehan Kerajaan 2025 (APK 2025) yang telah diluluskan di peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Negara merupakan satu langkah penting ke arah reformasi sistem sebagaimana diperjuangkan oleh KEADILAN dan Pakatan Harapan sejak lebih dua dekad lalu.
Bagi Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Bryan Ng Yih Miin, akta baharu itu yang jelas menyatakan kesalahan untuk mana mana pihak campur tangan dalam isu perolehan kerajaan akan mampu membataskan cubaan ahli politik menentukan tender atau kontrak diberi kepada pihak berkepentingan atau kroni mereka sebagaimana praktik sebelum ini.
"Selama ini isu campur tangan politik hanya dianggap perkara pentadbiran atau disiplin, tetapi kini ia diberi kepastian undang-undang dengan hukuman denda dan penjara.
"Dari segi prinsip, ia boleh memberi kesan pencegahan kerana ahli politik atau mana-mana pihak, tidak lagi boleh masuk campur tanpa risiko dihukum.

"Rakyat juga akan melihat bahawa kerajaan serius mahu meletakkan sempadan jelas antara kuasa politik dan urusan pentadbiran," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau diminta mengulas mengenai kelulusan APK 2025 yang memperuntukkan peraturan khusus bagi menghalang campur tangan politik dalam kontrak atau tender kerajaan yang boleh mengganggu proses perolehan.
Namun menurut Bryan Ng yang juga seorang pengamal undang-undang, biarpun APK 2025 memperuntukkan kesalahan dan hukuman, tetap masih perlu diwujudkan kesedaran dalam kalangan penjawat awam untuk mendedahkan maklumat.
Katanya, keberanian saksi untuk tampil ke depan, perlindungan terhadap pemberi maklumat dan ketelusan badan penguat kuasa yang bertanggungjawab menjalankan siasatan juga penting dalam menjamin keberkesanan akta baharu itu.
Walau bagaimanapun, kata beliau, dengan APK 2025 sekurang kurangnya akta tersebut dijangka mampu membanteras penyelewengan berskala kecil dan sederhana, sementara keberkesanannya dalam mencegah skandal mega bergantung kepada keberanian politik untuk melaksanakan secara tegas dan telus.
Selain itu, jelas beliau sebelum ini pegawai kerajaan hanya dibatasi pekeliling yang kesannya sekiranya berlaku penyelewengan dan kekurangan bukti, biarpun telah didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara, kes berakhir dengan tindakan tatatertib sahaja.
''Sebelum ini, pegawai kerajaan yang cuai atau membiarkan penyelewengan hanya dikenakan tindakan disiplin.. itu pun sering dianggap ringan.
''Dengan adanya akta ini, mereka boleh disiasat dan didakwa secara jenayah, dan pemantauan juga boleh dibuat lebih awal tanpa menunggu laporan audit tahunan.
''Namun, persoalan yang lebih besar ialah, adakah langkah ini cukup untuk mengelakkan skandal sebesar 1MDB atau Jana Wibawa daripada berulang kerana ia mungkin berpunca daripada campur tangan politik di peringkat tertinggi,'' katanya.
Malah ujar beliau, tanpa perlindungan yang kukuh kepada pemberi maklumat, ramai pegawai akan terus memilih untuk berdiam diri.
Bagaimanapun, Bryan Ng tetap menzahirkan pujian dengan kewujudan APK 2025 dan pasukan penyiasatan serta penguatkuasaan khusus di bawah akta itu.
APK 2025 mengandungi 12 Bahagian dan 93 Fasal antaranya, pihak yang gagal menzahirkan kepentingan termasuk kepentingan mana-mana pemunya benefisial boleh dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.
Begitu juga campur tangan yang mengganggu proses perolehan kerajaan juga boleh disabit kesalahan dan dihukum denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya
Manakala kesalahan memindah pemberian perolehan atau kontrak perolehan termasuk mencegah gejala rent-seeking boleh dijatuhi hukuman denda tidak kurang tiga kali ganda nilai pemberian atau kontrak perolehan kerajaan atau satu juta ringgit, yang mana lebih tinggi atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.