Akta Perlesenan Tenaga Atom dipinda selepas lebih empat dekad
- Suara Keadilan
- 11 hours ago
- 1 min read

Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlesenan Tenaga Atom (Pindaan) 2025 yang menyaksikan pindaan pertama terhadap Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) selepas lebih empat dekad berkuat kuasa.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang (gambar) berkata, pindaan ini bertujuan menambah baik aspek penguatkuasaan, memperkukuh keselamatan, sekuriti serta kawal guna teknologi tenaga atom.
Fokus utama pindaan bagi memastikan kerangka perundangan di bawah Akta 304 lebih komprehensif dan seiring standard antarabangsa.
"Biarpun Malaysia hanya akan membuat keputusan mengenai penggunaan tenaga nuklear sebagai sumber penjanaan elektrik selepas tahun 2030, pindaan ini merupakan langkah kesiapsiagaan.
"Kita tidak boleh menunggu hingga selepas keputusan dibuat baru hendak melaksanakan persediaan," katanya dipetik ketika menggulung perbahasan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Antara peruntukan baharu termasuklah penubuhan Majlis Penasihat Tenaga Atom serta pengenalan seksyen 41D.
Seksyen tersebut memperuntukkan kesalahan dan penalti tegas terhadap individu yang menjalankan aktiviti melibatkan bahan radioaktif atau bahan nuklear dengan niat untuk menyebabkan kematian, kecederaan serius kepada mana-mana orang dan kerosakan teruk terhadap harta atau alam sekitar.
"Pewartaan RUU ini juga akan membuka ruang kepada Malaysia menandatangani lima instrumen antarabangsa berkaitan tenaga atom yang masih belum ditandatangani, selain meratifikasi dua lagi instrumen penting.
"Pindaan ini memperkukuh komitmen negara dalam memenuhi obligasi antarabangsa di bidang tenaga nuklear, memperlihatkan kesediaan untuk berperanan lebih aktif sekiranya penggunaan tenaga nuklear diputuskan pada masa hadapan," jelasnya.