top of page

PM hubungi rakan sejawat diplomasi redakan ketegangan - Tunku Nasrul

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 2 hours ago
  • 2 min read

KEADILAN negeri Kedah menyifatkan kenyataan yang memperkecil usaha diplomasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menangani krisis antarabangsa sebagai dangkal, sekaligus membuktikan pembangkang mengamalkan politik sempit.


Pengarah Komunikasi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Kedah, Tunku Nashrul Abaidah (gambar) berkata, tindakan Perdana Menteri menghubungi pemimpin dunia secara langsung merupakan pendekatan penting dalam landskap geopolitik semasa yang semakin kompleks dan pantas berubah.


"Janganlah kita memperkecil usaha diplomasi hanya demi kepentingan politik sempit, sedangkan hasilnya memberi kesan langsung kepada keselamatan dan ekonomi negara.


"Dalam keadaan krisis global yang saling berkait, kepimpinan memerlukan tindakan pantas termasuk komunikasi terus antara pemimpin bagi menyelaras respons dan meredakan ketegangan," katanya dalam satu kenyataan.


Tunku Nashrul sebelumnya mengulas kenyataan Exco Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah yang menyifatkan usaha diplomatik itu tidak wajar dianggap sebagai pencapaian luar biasa.


ADUN Jitra dari parti Pas itu mendakwa hubungan Malaysia dengan Iran bukan sesuatu yang luar biasa dan tindakan menghubungi pemimpin negara lain tidak perlu diperbesarkan kepada umum.


"Dalam era teknologi dan keterbukaan maklumat, rakyat berhak mengetahui langkah yang diambil kerajaan dalam melindungi kepentingan negara termasuk aspek keselamatan dan ekonomi.


"Menyifatkan pendekatan Perdana Menteri sekadar 'diplomasi biasa' adalah tidak tepat kerana situasi semasa memerlukan tindakan strategik dan responsif.


"Diplomasi hari ini tidak lagi terikat kepada kerangka formal semata-mata, sebaliknya memerlukan kecekapan serta keupayaan bertindak segera," tambah Tunku Nasrul.


Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri memberi contoh sebelum ini, di mana Perdana Menteri menerima panggilan lebih awal daripada rakan sejawatnya dari Pakistan sebelum tampil sebagai orang tengah dalam rundingan melibatkan Amerika Syarikat dan Iran.


Beliau turut menegaskan, pendekatan diplomasi Perdana Menteri juga membuahkan hasil apabila Malaysia antara negara terawal berjaya memastikan laluan kapal minyaknya tidak terjejas ketika krisis berlaku.


"Dalam keadaan ratusan kapal dari pelbagai negara masih terkandas, Malaysia berjaya mengurus situasi dengan lebih awal hasil pendekatan diplomasi yang strategik dan berkesan," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page