Akta Perkhidmatan Parlimen kukuhkan kebebasan, pengasingan kuasa


Parlimen kini mempunyai perkhidmatan khusus bagi mengurus pentadbiran, sumber manusia dan hal ehwalnya dengan lebih bebas serta berkesan susulan penguatkuasaan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 hari ini.
Setiausaha Agung KEADILAN, Senator Dr Fuziah Salleh (gambar) berkata pelaksanaan Akta 869 itu merupakan langkah penting Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kebebasan institusi Parlimen.
"Saya menyambut baik pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 sebagai langkah penting Kerajaan MADANI untuk memperkukuh kebebasan institusi Parlimen.
"Melalui akta ini, Parlimen mempunyai perkhidmatan khusus untuk mengurus pentadbiran, sumber manusia dan hal ehwalnya dengan lebih bebas serta berkesan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Fuziah penguatkuasaan akta tersebut turut memperkukuh kedudukan Parlimen sebagai badan perundangan tertinggi negara di samping mendukung prinsip pengasingan kuasa dan sistem semak dan imbang antara badan perundangan, eksekutif dan kehakiman.
"Bagi saya, autonomi yang lebih kukuh penting supaya Parlimen dapat menjalankan fungsi perlembagaan dan menunaikan tanggungjawab kepada rakyat dengan lebih berkesan serta berwibawa," katanya.
Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dalam kenyataan berasingan berkata penguatkuasaan Akta 869 merupakan antara pencapaian signifikan agenda reformasi institusi Kerajaan MADANI.
Beliau berkata penguatkuasaan akta itu turut menjadi detik bersejarah bagi Parlimen Malaysia selepas Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 (Akta 394) dimansuhkan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1992 yang berkuat kuasa pada 20 November 1992.
Menurutnya selepas lebih tiga dekad, Akta 869 mengembalikan semula autonomi Parlimen melalui pewujudan suatu perkhidmatan khusus yang membolehkan Parlimen menguruskan pentadbiran, sumber manusia dan hal ehwalnya dengan lebih bebas dan berkesan.
"Penguatkuasaan akta ini merupakan antara pencapaian signifikan agenda reformasi institusi Kerajaan MADANI dan satu detik bersejarah bagi Parlimen Malaysia...," katanya.
Azalina berkata reformasi itu turut mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam mendukung prinsip doktrin pengasingan kuasa serta sistem semak dan imbang antara cabang perundangan, eksekutif dan kehakiman.
"Dengan autonomi institusi yang lebih kukuh, Parlimen dapat melaksanakan fungsi perlembagaan serta tanggungjawabnya kepada rakyat dengan lebih bebas, berkesan dan berwibawa," katanya.
Dalam kenyataan sama, Azalina merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri merangkap Ketua Majlis Parlimen, Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, barisan Jemaah Menteri, Ahli Parlimen, Parlimen Malaysia, Jabatan Peguam Negara serta semua kementerian, jabatan, agensi dan pihak berkepentingan yang menyumbang kepada pelaksanaan reformasi berkenaan.
"Kerajaan MADANI akan terus melaksanakan agenda reformasi institusi secara tersusun dan berterusan bagi memperkukuh institusi demokrasi negara serta memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi negara terus terpelihara," katanya.




Comments