Akta Perhimpunan Aman diteliti semula, penuhi tuntutan semasa


Kerajaan sedang meneliti semula beberapa peruntukan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) bagi memastikan undang-undang berkenaan terus relevan dengan perkembangan dan keperluan semasa.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pindaan terhadap akta tersebut perlu memastikan aspek keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.
"Kita sedang meneliti semula beberapa peruntukan dalam akta ini untuk ditambah baik dan disesuaikan dengan perkembangan serta keperluan semasa.
"Pindaan ini perlu mengambil kira hak rakyat untuk berhimpun secara aman, dan pada masa yang sama memastikan aspek keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara," katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu Saifuddin perbincangan bersama pegawai dan pihak-pihak berkaitan di Putrajaya bagi melihat beberapa perkara berkenaan Akta Perhimpunan Aman.
Kenyataan terbaru Saifuddin itu membuka ruang kepada penelitian lanjut terhadap keseimbangan antara hak berhimpun dan keperluan menjaga keselamatan serta ketenteraman awam.
Bagaimanapun, beliau belum memperincikan peruntukan mana yang sedang dikaji atau bentuk pindaan yang bakal dicadangkan.
"Beberapa perkara akan terus diperhalusi sebelum cadangan pindaan ini dimuktamadkan," katanya.
Akta Perhimpunan Aman 2012 sebelum ini diperkenalkan bagi menggantikan peruntukan berkaitan perhimpunan di bawah Akta Polis 1967, khususnya Seksyen 27 yang memberi kuasa kepada polis mengawal dan mengeluarkan permit bagi perhimpunan.
Antara perubahan penting melalui akta itu ialah konsep permit polis digantikan dengan keperluan pemberitahuan kepada polis oleh penganjur sekali gus memberikan ruang lebih besar kepada hak berhimpun secara aman.
Bagaimanapun, pelaksanaan akta berkenaan terus menjadi perhatian kumpulan masyarakat sivil dan pertubuhan hak asasi manusia yang mempersoalkan beberapa sekatan terhadap kebebasan berhimpun.
Antara perkara yang pernah menjadi kritikan ialah keperluan memberikan notis kepada polis sebelum sesuatu perhimpunan diadakan selain peruntukan yang mengenakan tindakan terhadap penganjur sekiranya gagal mematuhi keperluan tertentu di bawah akta.
Pada 2019, kerajaan ketika itu meminda Akta Perhimpunan Aman sebagai sebahagian usaha memperluas ruang kebebasan berhimpun.
Pindaan berkenaan antara lain mengurangkan tempoh notis yang perlu diberikan kepada polis daripada 10 hari kepada lima hari serta memansuhkan hukuman terhadap kegagalan memberikan notis.
Pindaan itu juga menurunkan umur minimum individu yang boleh menjadi penganjur perhimpunan daripada 21 kepada 18 tahun.
Bagaimanapun, kumpulan hak asasi dan NGO masih mendesak reformasi yang lebih menyeluruh terhadap undang-undang berkenaan.
Antara tuntutan yang dibangkitkan selama ini ialah supaya proses pemberitahuan tidak digunakan sebagai bentuk kawalan terhadap hak berhimpun selain mengkaji semula kuasa polis dan sekatan terhadap lokasi, peserta serta penganjur perhimpunan.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) sebelum ini juga menggesa supaya undang-undang berkaitan perhimpunan aman ditambah baik agar lebih selaras dengan hak kebebasan berhimpun yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.




Comments