Akta Pekerja Gig dikuatkuasa sebelum hujung Mac ini
- Suara Keadilan

- Jan 27
- 1 min read

Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) akan dikuatkuasakan selewat-lewatnya penghujung Mac ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan (gambar).
Menurut beliau, semua mekanisme pelaksanaan akta berkenaan termasuk majlis perundingan, tribunal dan pejabat berkaitan kini sedang dalam proses untuk dimuktamadkan dan struktur keanggotaan majlis perundingan pekerja gig akan diumumkan kemudian, dengan keutamaan diberikan kepada platform berskala besar seperti Grab yang membabitkan peratusan besar tenaga kerja gig di negara ini.
"Struktur keanggotaan itu bagi sedikit masa, kami akan umumkan …memang kita perlu berikan keutamaan kepada beberapa pihak terutama mereka yang terbabit dalam skala besar," katanya dipetik.
Ramanan berkata begitu kepada pemberita selepas merasmikan Kampus Rakan Grab di Petaling Jaya pada Isnin.
Kerajaan MADANI mewartakan Akta Pekerja Gig pada 31 Disember lalu bertujuan memperjuangkan perlindungan sosial, hak kebajikan dan maruah pekerja gig serta memberi perlindungan setara pekerja formal kepada lebih 1.2 juta pekerja gig negara.
Mengenai kawal selia pendapatan pekerja gig, Ramanan berkata, kadar gaji minimum nasional sebanyak RM1,700 kekal menjadi dasar asas, manakala pengendalian gaji penghantar tertakluk kepada platform masing-masing.
Beliau bagaimanapun menolak cadangan menetapkan satu kadar harga lantai seragam bagi semua platform kerana ia menekan platform e-hailing yang masih bergelut untuk membuat keuntungan selain terdapat keperluan mengekalkan keseimbangan antara kebajikan pekerja dan kelangsungan perniagaan.
"Banyak berpendapat kalau kita jaga pekerja dengan baik, semuanya akan okey. Menang itulah perkara yang biasa dilakukan tetapi seperti yang saya maklum kepada semua pegawai kanan kementerian, kita perlu ada keseimbangan," tambahnya.









Comments