Akta Pekerja Gig 2025 diwartakan, tarikh penguatkuasaan diumum kelak
- Suara Keadilan

- Dec 31, 2025
- 1 min read

Akta Pekerja Gig 2025 [Akta 872] telah diwartakan hari ini selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 16 Disember lalu dengan tarikh penguatkuasaan akan diumumkan kelak, demikian menurut Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
KESUMA dalam kenyataan berkata pewartaan Akta 872 itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh kerangka perundangan buruh negara, khususnya bagi mengawal selia ekosistem pekerjaan gig serta menyediakan perlindungan lebih menyeluruh dan sistematik.
Bagaimanapun, kementerian menegaskan bahawa akta berkenaan belum berkuat kuasa.
"Akta tersebut hanya akan dikuatkuasakan pada tarikh yang akan ditetapkan dan diluluskan oleh menteri melalui warta kerajaan," kata KESUMA.
Dalam tempoh interim ini, KESUMA memaklumkan pihaknya akan meneruskan persediaan pelaksanaan termasuk pembangunan peraturan-peraturan subsidiari, penyelarasan mekanisme tadbir urus serta sesi libat urus bersama pihak berkepentingan.
"Langkah itu bagi memastikan pelaksanaan akta berkenaan kelak dapat dijalankan secara teratur, berkesan dan selaras dengan realiti serta keperluan ekosistem pekerjaan gig," katanya.
Akta Pekerja Gig 2025 digubal susulan pertumbuhan pesat ekonomi gig di negara ini yang melibatkan ratusan ribu pekerja dalam sektor penghantaran, e-hailing, perkhidmatan digital dan kerja bebas berasaskan platform.
Sebelum ini, kebanyakan pekerja gig tidak diliputi secara jelas di bawah undang-undang buruh sedia ada, sekali gus menimbulkan isu berkaitan perlindungan sosial, kebajikan serta hubungan pekerjaan.
Rang Undang-Undang Pekerja Gig telah dirangka dan dibentangkan di Parlimen sebagai sebahagian agenda reformasi buruh Kerajaan MADANI, sebelum diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara, seterusnya memperoleh perkenan diraja pada Disember lalu.
Akta ini dijangka menjadi asas perundangan utama dalam mengimbangi keperluan perlindungan pekerja gig dengan kelestarian model perniagaan platform digital di Malaysia.









Comments