top of page

Akta Makanan dikemas kini selepas 43 tahun demi keselamatan pengguna

Writer: Azuan Ab Rahman
Azuan Ab Rahman
13 hours ago
1 min read

Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Makanan (Pindaan) 2026 yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Khamis bakal memperkukuh kawalan keselamatan makanan serta memberi perlindungan lebih komprehensif kepada pengguna.


Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi satu kenyataan pada Jumaat berkata, pindaan terhadap Akta Makanan 1983 (Akta 281) itu merangkumi beberapa langkah utama, termasuk memperketat kawalan bahan bersentuhan dengan makanan serta memperkukuh kuasa penguatkuasaan terhadap produk makanan yang berbahaya kepada kesihatan.


Usul tersebut yang dibentangkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad juga dianggap sebagai satu langkah besar memandangkan akta tersebut tidak pernah dikaji secara menyeluruh sejak diwartakan 43 tahun lalu.


"Justeru, pindaan ini dilihat relevan bagi memastikan peruntukan undang-undang sedia ada terus memenuhi keperluan semasa, selain melindungi hak dan kepentingan rakyat untuk mendapatkan makanan yang selamat di pasaran," kata KKM.


Antara perubahan utama terhadap akta tersebut ialah memperkukuh kawalan terhadap bahan yang bersentuhan dengan makanan, termasuk sarung tangan dan plastik pembungkusan makanan, yang sebelum ini tidak dikawal secara menyeluruh.


Ia turut akan melindungi orang ramai daripada bahaya kesihatan berpunca daripada makanan serta penipuan dalam penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan selain maklumat berkaitan boleh disiarkan kepada orang awam tanpa perlu menunggu perintah mahkamah.


"Pindaan itu turut memperkukuh kuasa Ketua Pengarah Kesihatan untuk menangani produk makanan yang memudaratkan kesihatan, termasuk menutup premis makanan yang terbukti menyediakan makanan mengandungi bahan berbahaya," tambah kenyataan itu.


KKM menerusi kenyataan sama turut menjelaskan, pindaan turut memberi tumpuan kepada pengukuhan aktiviti penguatkuasaan serta kajian semula kadar penalti bagi memastikan tindakan terhadap pelanggaran undang-undang keselamatan makanan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.


Terdahulu, Dr Dzulkefly ketika membentangkan pindaan itu menegaskan, ia tidak bertujuan membebankan pihak pengusaha makanan atau peniaga kecil, sebaliknya berfungsi sebagai langkah pencegahan demi melindungi kesihatan awam.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page