Akta Keselamatan Dalam Talian dikuatkuasakan dalam masa terdekat
- Suara Keadilan
- Jun 18
- 1 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 dijangka dikuatkuasakan dalam masa terdekat selepas beberapa proses penting yang berkaitan dimuktamadkan, demikian menurut Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga jurucakap kerajaan berkata draf berkaitan beberapa peraturan yang digunakan bagi pelaksanaan akta tersebut sedang disediakan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
"Setelah draf tersebut disiapkan dan saya menandatangani pewartaan, ia akan berkuat kuasa.
"Kita jangka dalam tempoh beberapa minggu lagi (akta itu dapat dikuatkuasakan)," kata beliau pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.
Fahmi berkata sebuah jawatankuasa juga akan dibentuk oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said selepas akta itu berkuat kuasa.
"Jawatankuasa itu akan mempunyai kuasa kawal selia terhadap pelaksanaan akta tersebut, contohnya mengenai takrifan apa yang dimaksudkan dengan kemudaratan dalam talian," katanya.
Laporan media sebelum ini memetik Azalina sebagai berkata akta itu akan mula berkuatkuasa sebaik sahaja Menteri Komunikasi menandatangani perintah penguatkuasaan sekali gus membolehkan kerajaan bertindak segera untuk menurunkan kandungan yang menyalahi undang-undang.
Di bawah akta itu, penyedia platform juga diwajibkan mematuhi tanggungjawab penjagaan yang ditetapkan.
Azalina berkata meskipun Akta Keselamatan Dalam Talian memberi tumpuan kepada kawal selia platform dan tanggungjawab digital, sebarang isu melibatkan kanak-kanak juga perlu dilihat melalui kerangka Akta Kanak-Kanak 2001.
Comments