Oleh: Abdullah Zaid
Kerajaan bercadang untuk meminda Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) terlebih dahulu sebelum membentangkan Akta Kebebasan Maklumat bagi menjamin keselamatan pemberi maklumat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) berkata kerajaan pada ketika ini memberi bayangan untuk membentang akta itu pada tahun hadapan bagi memperincikannya melalui sesi libat urus.
"Akta Kebebasan Maklumat ini sangat penting kerana ia perlu dilihat bersekali dengan Akta Rahsia Rasmi 1972. Justeru, perlunya satu ‘balancing act’ (keseimbangan akta) yang mana Akta Rahsia Rasmi kemungkinan dipinda supaya Akta Pemberi Maklumat mempunyai skop yang lebih luas.
"Kita tak boleh hanya datang ke Parlimen membuat pindaan sewenang-wenangnya tanpa membuat libat urus bukan saja dengan ahli politik atau wakil di sini iaitu kedua belah blok (kerajaan dan pembangkang), tetapi juga agensi terbabit yang akan melaksanakan perkara ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 peringkat dasar bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, menyentuh soal hasil kajian mengenai Akta Pembelaan Awam bagi membantu golongan kurang berkemampuan dalam kes jenayah, Azalina menjangkakan ia siap hujung tahun ini.
Jelasnya, pada ketika ini Jawatankuasa Akta Pembelaan Awam (JAPA) sedang membuat kajian perbandingan liputan kerangka perundangan berkaitan pembelaan awam di negara terpilih seperti Singapura, Australia, New Zealand, Taiwan dan United Kingdom.
"Ia mengambil kira input utama berdasarkan kerangka perundangan dan amalan terbaik di luar negara berkaitan pembelaan awam, implikasi kepada perkhidmatan bantuan guaman secara holistik serta kesan terhadap Akta sedia ada di Malaysia terutama Akta Bantuan Guaman 1971 (Akta 26) dan Akta Profesion Undang-Undang 1976 (Akta 166).
"Kajian itu diharapkan akan dapat merangka pendekatan dan dasar kerajaan baharu jika kerajaan mahu meneruskan komitmen untuk mewujudkan satu Akta Pembelaan Awam," ujarnya lagi.
Comments