top of page

Akta bakal dipinda, benar generasi kedua bina rumah di FELDA - PM

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 2 hours ago
  • 3 min read
DS Anwar menyampaikan Anugerah Tokoh Belia FELDA disaksikan DS Dr Zahid dan DS Wan Rosdy
DS Anwar menyampaikan Anugerah Tokoh Belia FELDA disaksikan DS Dr Zahid dan DS Wan Rosdy

Kerajaan MADANI akan melakukan reformasi besar dalam isu perumahan generasi kedua FELDA apabila bakal meminda Akta Tanah Kawasan Penempatan Berkelompok 1960 bagi membolehkan lebih daripada satu unit rumah dibina di atas satu lot kediaman.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu merupakan antara inisiatif strategik kerajaan untuk menyelesaikan isu legasi yang sekian lama membelenggu warga FELDA khususnya anak-anak peneroka yang berdepan kekangan untuk memiliki kediaman sendiri di tanah keluarga.


Serentak itu, FELDA telah diarahkan menyediakan deraf pindaan akta berkenaan dalam tempoh dua bulan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri dan seterusnya dibawa ke Parlimen tahun ini.


"Pertama, kita kena pinda Akta Tanah Kawasan Penempatan Berkelompok 1960 yang membenarkan lebih daripada satu unit rumah di atas satu lot kediaman, dan saya telah mengarahkan FELDA menyiapkan deraf itu dalam tempoh dua bulan, bentang kepada Jemaah Menteri dan kita akan bentangkan tahun ini juga," katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun FELDA di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang hari ini.


Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy bin Wan Ismail.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata isu perumahan generasi baharu FELDA antara perkara utama yang sering dibangkitkan peneroka ketika kerajaan turun ke kawasan tanah rancangan.


Katanya, kerajaan memilih untuk menyelesaikan isu tersebut melalui tindakan konkrit, bukan sekadar memberi harapan kepada warga FELDA.


"Kita dengar keluhan rakan-rakan dari FELDA. Saya pergi mana-mana kalau sampai ke kawasan FELDA, ada rintihan."


Peneroka generasi pertama teruja bertemu PM DS Anwar dan TPM DS Dr Zahid
Peneroka generasi pertama teruja bertemu PM DS Anwar dan TPM DS Dr Zahid

Sementara menunggu proses pindaan akta diselesaikan, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan memberi kelulusan segera kepada kira-kira 8,000 unit rumah yang telah siap dibina di atas satu lot kediaman tetapi masih belum memperoleh kebenaran hakiki.


Beliau berkata langkah itu membolehkan urusan penyambungan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik dipercepatkan demi kepentingan penghuni.


"Sekarang lebih kurang 8,000 unit rumah yang telah siap dibina, yang di atas satu lot ini, yang telah diduduki sejak 31 Disember 2025. Tapi kebenaran hakiki belum diperoleh.


"Dengan ini, saya akan umumkan, sementara lulus akta dan sebagainya, kita luluskan supaya kebenaran diluluskan serta-merta, supaya utiliti air dan elektrik disambung segera," ujarnya.


Dalam masa sama, kerajaan turut meluluskan tambahan peruntukan RM150 juta bagi menyelesaikan projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) yang terbengkalai melibatkan 554 unit kediaman di Johor dan Terengganu, katanya.


"Terbengkalai, ini kita kena siapkan 554 unit ini untuk siapa? Untuk generasi FELDA, generasi baru FELDA."


"Maka dengan ini, untuk menyiapkan 554 unit di Johor, paling banyak Bukit Aping Timur 200 unit, Pasak Johor 200 unit, Kertih 154 unit, untuk generasi baru FELDA saya luluskan segera peruntukan tambahan RM150 juta ringgit."


Beliau berkata kelewatan projek perumahan berkenaan sebelum ini berlaku akibat perancangan tidak teratur, pemantauan tidak berkesan serta kelemahan pengurusan.


Sehubungan itu, kata Anwar FELDA diarahkan memastikan setiap projek dipantau secara dekat dengan laporan kemajuan dikemukakan secara berkala.


"Sebab itu saya dah bagitahu, dia dalam tiap dua minggu ada laporan kemajuannya, dan pada utiliti yang lain, harus lapor dalam masa yang ditetapkan."


Anwar berkata kerajaan juga akan mengadakan perbincangan bersama kerajaan negeri bagi mencari penyelesaian terhadap isu berkaitan tanah, hak milik dan pembangunan rumah generasi FELDA.


Katanya, kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri penting supaya masalah yang tertangguh dapat diselesaikan tanpa membebankan mana-mana pihak.


"Kita akan bincang kerajaan-kerajaan negeri, kerana janji dulu kos infrastruktur tanggungjawab negeri, tetapi saya juga tahu perlu ada perbincangan, rundingan sepertimana yang berlaku di antara Kerajaan Negeri Pahang dengan Kerajaan Persekutuan."


"Bagaimana boleh kita kurangkan tekanan kepada negeri dan dapat sebahagiannya yang ditampung oleh Kerajaan Persekutuan."


Beliau menegaskan kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada penyelesaian isu legasi FELDA demi memastikan kebajikan peneroka dan generasi baharu terus terbela.


"Saya akan bersama rakan-rakan saya akan berikhtiar sedaya upaya, saya akan cuba melakukan perubahan ke arah kebaikan sedaya upaya kita," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page