top of page

Akta baharu ganti AUKU tidak libat pelajar, mahasiswa - Fahmi

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • Aug 19
  • 2 min read
DS Fahmi dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini
DS Fahmi dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini

Undang-undang baharu yang bakal menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 akan memberi penekanan kepada kebebasan mahasiswa tanpa lagi mengandungi peruntukan yang bersifat mengongkong atau menyekat pelajar.


Perkara berkenaan dimaklumkan Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil memetik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


"Perdana Menteri menegaskan bahawa ada beberapa perkara walaupun sekiranya perlu diwujudkan atau digubal satu rangka undang-undang baru untuk menyelaraskan aspek pentadbiran dan pengurusan bagi universiti dan kolej universiti.


"Namun aspek-aspek yang melibatkan pelajar dan mahasiswa tidak harus terkandung dalam undang-undang tersebut memandangkan undang-undang sedia ada sama ada undang-undang yang membabitkan polis dan sebagainya adalah terpakai.


"Jadi pihak Menteri Pendidikan Tinggi (Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir) telah memaklumkan bahawa aspek yang perlu diuruskan melibatkan pentadbiran universiti dan kolej universiti sebagai institusi pendidikan tinggi.


"Jadi ini akan diberikan keutamaan dalam sebarang rang undang-undang yang menggantikan aspek-aspek tertentu yang terkandung waktu ini dalam AUKU," katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.


Ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional KEADILAN 2026 Sabtu lalu, PM telah mengumumkan pemansuhan AUKU.


Anwar yang juga Presiden KEADILAN berkata, meskipun beberapa pindaan dibuat terhadap akta berkenaan sebelum ini, masih terdapat perkara yang tidak memuaskan hati mahasiswa.


"Mahasiswa merasakan mereka sepatutnya diberikan kebebasan. Kita sudah memberikan mereka lebih banyak kebebasan melalui pindaan terhadap AUKU sebelum ini, tetapi masih ada yang tidak berpuas hati dan mereka telah mengemukakan memorandum," katanya dipetik.


Untuk rekod, AUKU sudah tujuh kali dipinda sejak ia diperkenalkan pada 1971, dengan pindaan pada 2012 membenarkan mahasiswa menyertai kegiatan anjuran parti politik di luar kampus.


AUKU turut dipinda pada 1971, 1975, 1983, 1996 dan 2009.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page