Akta 723 pastikan sistem kesihatan lebih telus - KKM
- Suara Keadilan
- 7 hours ago
- 1 min read

Pelaksanaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) bukan bertujuan menekan atau menjejaskan operasi pengamal perubatan swasta (GP).
Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi satu kenyataan menegaskan, pelaksanaan akta tersebut merupakan langkah ke arah mewujudkan sistem kesihatan lebih telus, adil dan mampan selaras aspirasi Kerajaan MADANI.
"KKM mengambil maklum mengenai perhimpunan aman oleh kumpulan pengamal perubatan swasta yang diadakan pagi ini di Putrajaya bagi menyerahkan memorandum membantah pelaksanaan Akta 723 berkaitan penandaan harga ubat di fasiliti kesihatan swasta dan farmasi komuniti.
"Kami sentiasa mengamalkan pendekatan terbuka serta inklusif, dan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan telah dan akan terus diadakan bagi memastikan pelaksanaan yang seimbang serta tidak membebankan mana-mana pihak," kata kementerian itu.
Pada Selasa, sekumpula peserta berhimpun berhampiran Bangunan Perdana Putra bagi membantah pelaksanaan peraturan mewajibkan klinik swasta dan farmasi mempamerkan harga ubat-ubatan.
Wakil kumpulan itu kemudian menyerahkan memorandum berkaitan perkara itu kepada wakil Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Bangunan Perdana Putra di sini.
Sementara itu KKM dalam kenyataan menyatakan kesediaan untuk meneliti kandungan memorandum yang dikemukakan dan mempertimbangkan sebarang penambahbaikan dasar berdasarkan bukti serta data semasa.
"Keutamaan KKM ialah memastikan akses kepada ubat-ubatan yang munasabah dan mampu milik serta memperkukuhkan kepercayaan rakyat terhadap sistem kesihatan negara," kata kenyataan tersebut.