Akta 4 bakal dipinda, kukuh perlindungan sosial golongan pekerja
- Suara Keadilan
- Oct 5
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan MADANI terus memperkukuh sistem keselamatan sosial yang menyeluruh untuk rakyat, khususnya golongan pekerja, selaras aspirasi Malaysia sebagai peneraju global dalam perlindungan sosial.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong (gambar) berkata, pindaan terhadap Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) akan dibentangkan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 yang bermula Isnin ini.
Jelasnya, pindaan itu bagi memperkenalkan perlindungan 24 jam kepada pekerja di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sejajar realiti semasa bahawa waktu kerja tidak lagi terhad kepada pejabat fizikal.
"Pindaan ini akan memastikan para pekerja kekal dilindungi selepas waktu kerja, selaras dengan perkembangan dunia pekerjaan moden yang lebih fleksibel," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menerusi kenyataan sama beliau menegaskan, kerajaan MADANI beriltizam memastikan tiada pekerja tercicir daripada jaringan keselamatan sosial, termasuk mereka yang bekerja secara tidak formal.
Katanya, Rang Undang-Undang Pekerja Gig yang baru diluluskan di Parlimen menjadi bukti kesungguhan kerajaan melindungi semua lapisan tenaga kerja.
"Malaysia kini mencatat peningkatan 63 peratus dalam jumlah pekerja yang dilindungi di bawah PERKESO, selain peningkatan ketara bayaran faedah maksimum kepada orang berinsurans — daripada RM2,655 pada 2015 kepada RM5,355 pada 2025," tambahnya.
Comments