Akses saringan kesihatan wanita perlu terus diperluas


Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru agar akses saringan kesihatan wanita, khususnya bagi golongan B40 terus diperluas.
Isteri Perdana Menteri itu menegaskan, langkah berkenaan penting bagi memastikan tiada komuniti itu tercicir, selain menggalakkan pengesanan awal kanser payudara serta meningkatkan peluang mendapatkan rawatan peringkat awal.
Justeru menurutnya, bersempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara 2026, pejabatnya mengadakan kerjasama strategik dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi menganjurkan Karnival Kesihatan MADANI -- khusus memberi tumpuan kepada kesihatan wanita secara menyeluruh.
Inisiatif berkenaan selari dengan usaha Kerajaan MADANI melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan LPPKN melalui program Saringan Kanser Reproduktif Wanita (WCare).
"Karnival Kesihatan MADANI ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada kanser payudara, malah merangkumi aspek kesihatan wanita secara menyeluruh.
"LPPKN menyediakan kemudahan mamogram secara bersubsidi dan percuma kepada golongan B40.
"Bagi golongan yang berkemampuan pula, kita akan berusaha mencari jalan untuk menggalakkan lebih ramai wanita mendapatkan saringan kesihatan secara berkala," katanya dipetik lapoiran media.
Beliau sebelumnya melancarkan Karnival Kesihatan MADANI Parlimen Bandar Tun Razak pada Ahad.
Program itu mensasarkan seramai 32,000 wanita menjalani ujian DNA Human Papillomavirus (HPV), selain menyediakan subsidi mamogram percuma kepada wanita daripada isi rumah berpendapatan RM10,000 ke bawah.
Dr Wan Azizah berharap, pendekatan membawa perkhidmatan saringan lebih dekat kepada komuniti dapat membantu lebih ramai wanita mengambil langkah proaktif untuk mengetahui status kesihatan masing-masing serta mendapatkan rawatan sewajarnya sekiranya diperlukan.




Comments