Akses pendidikan, rekreasi belia jadi agenda Ruji Ubi di Merotai
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 1 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai, Datuk Ruji Ubi berikrar untuk memberi tumpuan kepada pembangunan kemudahan belia dengan mewujudkan pusat rekreasi khusus di kawasan itu sekiranya diberikan mandat pada pilihanraya kali ini.
Menurutnya, penyediaan ruang riadah yang terancang amat mendesak di kawasan tersebut memandangkan golongan muda sekitar Bombalai, Kijang, Kuala Merotai, Taman Semarak dan Hot Spring masih bergantung kepada kawasan lapang tidak rasmi untuk aktiviti sukan dan rekreasi.
"Belia di Merotai dan kawasan sekitarnya sangat aktif, namun mereka tidak mempunyai pusat rekreasi yang sesuai.
"Di Tawau, kita melihat adanya kompleks sukan dan taman perumahan yang lengkap, tetapi kemudahan seperti itu belum dinikmati sepenuhnya di kawasan luar bandar," katanya dipetik pada program walkabout sempena kempen Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri sabah ke 17.
Mengulas lanjut beliau berkata, rancangan pembangunan kawasan riadah itu tidak mustahil direalisasikan kerana kos pembangunannya tidak terlalu tinggi, asalkan terdapat tapak lapang yang boleh dinaik taraf.
Sementara itu Ruji turut menegaskan keperluan mendesak untuk membina sebuah lagi sekolah menengah di DUN Merotai bagi memastikan akses pendidikan lebih adil kepada anak-anak tempatan.
"Dengan hanya dua pilihan iaitu SMK Merotai dan SMK Abaka, ramai pelajar terpaksa berulang-alik jauh ke Tawau untuk bersekolah," ujarnya.





