AKPS rekod rampasan RM50.85 juta, sekat lebih 20,000 individu gagal penuhi syarat - Saifuddin
- Helmi Mohd Foad

- 1 day ago
- 3 min read

Sejak mengambil alih kawalan 122 pintu masuk sah negara, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) merekodkan pelbagai kejayaan penguatkuasaan termasuk tindakan terhadap lebih 20,000 individu yang gagal memenuhi syarat kemasukan serta rampasan barangan bernilai lebih RM50 juta.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata bagi tempoh Januari hingga Mei lalu sahaja, AKPS merekodkan 20,699 tindakan Notis Penolakan Masuk (NPM) serta melaksanakan 441 tangkapan terhadap individu yang gagal mematuhi syarat kemasukan atau keluar dari Malaysia.
"Selain kawalan pergerakan penumpang, AKPS turut melaksanakan penguatkuasaan fasilitasi perdagangan dengan menjalankan lebih 3.6 juta aktiviti pengimbasan melibatkan kontena, kenderaan dan bagasi.
“Di samping menjalankan lebih 2.5 juta pemeriksaan ke atas kargo, dagangan dan kontena di 22 pintu masuk negara, AKPS telah merekodkan nilai keseluruhan rampasan melebihi RM50.85 juta,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat menjawab soalan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) yang dimuat naik di laman web Parlimen.

Saifuddin berkata, operasi itu turut membantu mengelakkan ketirisan hasil kerajaan yang dianggarkan melebihi RM10.11 juta hasil pengesanan kesalahan dan ketidakpatuhan di pintu masuk negara.
Tambah beliau, kejayaan besar lain AKPS antaranya termasuk rampasan 411.546 kilogram dadah dan 0.98 liter cecair disyaki fentanyl bernilai kira-kira RM19.01 juta hasil tindakan bersama PDRM dan ESSCOM termasuk menerusi Op Hymenoptera.
Bagi jenayah alam sekitar pula, AKPS berjaya menahan 432 kontena e-waste dengan berat melebihi 5,803 tan yang cuba dibawa masuk atau keluar negara secara tidak sah.
“Sehingga kini, AKPS telah berjaya menghantar keluar sebanyak 122 kontena e-waste ke beberapa negara penerima mengikut mekanisme dan keperluan Konvensyen Basel,” katanya.
Saifuddin turut memaklumkan kejayaan Ops Ribat Sepanggar 1/2026 yang membongkar cubaan penyeludupan ayam sejuk beku menggunakan dokumen pengimportan tidak benar.
“Tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan telah membawa kepada penahanan 14 buah kontena melibatkan kira-kira 32,694 kotak ayam sejuk beku dengan anggaran berat keseluruhan 404.2 tan dan nilai rampasan sekitar RM2.43 juta,” katanya.
Menurut beliau, keseluruhan kes itu turut melibatkan kaitan dengan 12 lagi kontena menjadikan jumlah keseluruhan dianggarkan 26 kontena dengan nilai melebihi RM5.8 juta.
Terdahulu beliau menjelaskan AKPS ditubuhkan sebagai agensi tunggal bagi mengawal serta menyelaras pemeriksaan keluar masuk manusia dan barangan selepas penggabungan beberapa agensi utama.
“AKPS ditubuhkan berdasarkan keputusan Jemaah Menteri pada 3 Januari 2024 dan diperuntukkan secara perundangan melalui Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 [Akta 860] yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2025,” katanya.
Dari segi kekuatan anggota, beliau berkata sebanyak 8,204 jawatan diperuntukkan kepada AKPS dengan 6,816 jawatan telah diisi, manakala 1,388 jawatan masih belum diisi.
Katanya kekosongan itu melibatkan 864 jawatan baharu yang telah diluluskan JPA serta 524 kekosongan jawatan sedia ada.
Bagaimanapun, Saifuddin berkata AKPS masih berdepan cabaran termasuk memperkukuhkan kawalan sempadan bagi membendung kemasukan secara tidak sah, penyeludupan dan pemerdagangan orang.
“AKPS juga berhadapan dengan cabaran dari segi infrastruktur dan reka bentuk bangunan yang terhad dan sempit di pintu masuk darat yang sudah tidak mampu menampung peningkatan kapasiti jumlah pelawat dan kenderaan yang terlalu tinggi,” katanya.
Mengenai Sabah, Saifuddin berkata KDN mengambil maklum penangguhan sementara penguatkuasaan Akta 860 di negeri itu bagi membolehkan perkara teknikal dan jaminan tertentu berkaitan perundangan diperhalusi.
“KDN telah memulakan perbincangan dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi meneliti semula peruntukan-peruntukan di dalam Akta 860 dan Akta 155 demi memastikan hak kedaulatan Negeri Sabah terpelihara,” katanya.




Comments