Akmal Salleh tiada keberanian tegur keangkuhan Tok Mat - Saifuddin Shafi
- Azuan Ab Rahman

- Jul 17
- 2 min read

Saifuddin Shafi Muhamad membidas tindakan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh yang dilihat terus mempertahankan tindakan tidak matang Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat).
Menerusi satu hantaran di Facebook, Saifuddin Shafi (gambar) berkata, Dr Akmal sepatutnya mempunyai keberanian untuk menegur Tok Mat yang sengaja memperlekeh keputusan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun untuk bertanding di kawasan yang dikuasai Umno.
"Tok Mat terlebih dahulu memperlekeh Menteri Besar Negeri Sembilan, bukan saya yang memulakan isu ini.
"Sebagai seorang Menteri Persekutuan Tok Mat sepatutnya menunjukkan kematangan politik, bukannya memperlekeh keputusan pihak lawan.
"Akmal sepatutnya gunakan ruang itu untuk menegur Tok Mat, bukannya mempertahankan beliau," kata Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN itu.
Kenyataan itu bagi membalas hantaran Facebook Dr Akmal sebelum ini yang mempertikai kenyataan Saifuddin terhadap tindakan Tok Mat dengan mendakwa pemimpin BN sering menjadi sasaran pelabelan oleh pihak lawan
Sementara itu menurut Saifuddin, Dr Akmal seorang individu yang sering melihat kesalahan orang lain tetapi gagal menilai tindakannya sendiri.
"Akmal selalu nampak salah orang lain tetapi sering lupa akan kesalahan diri sendiri - label melabel adalah permainan Akmal Salleh," katanya
Menerusi hantaran sama, Saifuddin turut memberi peringatan agar Dr Akmal terus memberi tumpuan kepada isu berkaitan kedudukannya sebagai Exco Melaka.
"Saya bertegas dengan apa yang saya sebut bahawa Tok Mat adalah 'pembuli' Tok Min, Akmal tidak perlu sibuk.
"Uruskan sahaja soal peletakan jawatan Exco Melaka dengan sebaiknya dan jangan berselindung di sebalik nama Tuan Yang Terutama. Kalau tidak faham, bacalah semula Undang-Undang Tubuh Negeri Melaka, khususnya Fasal 7(6)," katanya.
Akmal sebelum ini pernah berjanji untuk meletakkan jawatan sebagai Exco. Namun memberi alasan peletakan jawatan tersebut tidak diperkenan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka.
Alasan tersebut bagaimanapun dilihat sengaja direka untuk beliau kekal dengan jawatan dalam Kerajaan Negeri.




Comments