Akmal Nasir umum pertahan jawatan Ketua Cabang Johor Bharu
- Suara Keadilan
- Apr 8
- 1 min read

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir mengumumkan untuk mempertahankan jawatan Ketua Cabang KEADILAN Johor Bharu pada pemilihan parti yang bakal berlangsung bulan ini.
Menerusi satu kenyataan, beliau yang juga Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, keputusan itu diambil selepas mempertimbangkan cabaran dan harapan rakyat yang semakin tinggi terhadap kepimpinan parti, khususnya di peringkat cabang.
"Saya teringat ketika mula-mula diberi amanah sebagai Ketua Cabang, ia satu misi yang dilihat mustahil namun akhirnya berjaya dilaksanakan. Tetapi cabaran sebenar bermula selepas kemenangan," katanya.
Mengulas lanjut bekas Ketua Angkatan Muda itu berkata, cabaran sebenar parti itu datang selepas kemenangan dengan harapan dan jangkaan rakyat yang terus meningkat.
Justeru tambahnya, ada keperluan untuk KEADILAN terus fokus membina impak sebenar kepada rakyat melalui keutamaan yang tepat dan pendekatan gerak kerja yang berprinsip.
"Untuk terus relevan, kita tidak boleh bergantung kepada pendekatan kosmetik semata-mata. Kita mesti menyelesaikan masalah sebenar rakyat dengan penuh integriti dan tanggungjawab.
"Saya cuba lakukan yang terbaik menyelesaikan masalah rakyat, membawa perubahan atau reformasi serta memastikan ada impak dalam gerak kerja selagi berperanan sebagai pimpinan pusat mahupun Timbalan Menteri," tambah beliau.
Sementara itu dalam kenyataan sama Akmal memaklumkan, pada pemilihan kali ini KEADILAN Johor Bahru mengetengahkan calon kepimpinan Cabang, AMK dan Wanita berdasarkan komitmen dan nilai perjuangan parti.
Tumpuan utama pasukan beliau adalah mempersiapkan parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang dengan memastikan kemenangan di Johor Bahru kekal menjadi keutamaan.
Comments