
Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Akmal Nasir perlu dikenakan tindakan tatatertib dengan segera.
Timbalan Ketua AMK Port Dickson, Muhamad Affandi Abdul Malik berkata kenyataan Akmal disifatkan menghina presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Perbualan yang penuh dengan kenyataan sinikal,menghina,kebudak-budakan serta tuduhan melulu terhadap YB Presiden amatlah tidak wajar sama sekali.
"Alasan cetek yang diberikan AMK haruslah bersifat berani tidak sama sekali mewajarkan kita untuk menggunakan ayat-ayat berbaur lucah dan penghinaan terhadap kepimpinan parti," katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas tangkapan layar yang melibatkan perbualan kontroversi Akmal bersama barisan kepimpinan kanan AMK pusat yang tular sejak semalam.
Malah, Affandi menganggap reaksi Akmal tidak mencerminkan ciri-ciri seorang pemimpin muda yang memimpin KEADILAN.
"Kader Angkatan Muda Keadilan sentiasa ditekankan soal idealisma perjuangan dan adab serta akhlak dalam mendepani mehnah perjuangan reformasi oleh YB Presiden.
"Dua tuduhan Saudara Akmal Nasir terhadap YB Presiden wajar dipandang serius dan diambil tindakan oleh lembaga disiplin parti.
"Sudah pasti tuduhan berat ini memberikan gambaran imej yang negatif terutama dikalangan rakan-rakan Pakatan Harapan apatah lagi datangnya dari seorang pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat.
"AMK Cabang Port Dickson mendesak supaya kesemua nama-nama yang terlibat disiasat dibawah jawatankuasa disiplin dan diberikan hukuman sewajarnya," katanya.