top of page

Akmal kata sijil UEC tidak ikut dasar kebangsaan, adakah A-Levels, IB, IGCSE ikut?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 25 minutes ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Pertikaian mengenai isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kembali memuncak apabila Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh mendakwa UEC tidak menepati tiga syarat diperlukan untuk diiktiraf.


Namun Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Howard Lee Chuan How (gambar) pula berkata, Akmal telah 'lari' daripada fakta sebenar berkaitan isu berkenaan.


Katanya, sijil yang bepaksikan pendidikan Inggeris juga tidak menepati tiga syarat, tetapi telah lama diiktiraf di negara ini.


"Saudara Akmal Saleh kata saya jahil, katanya saya tak faham dasar pendidikan negara. Baik sekarang kita uji siapa sebenarnya yang tak faham.


"Kalau benar tiga syarat yang saudara Akmal sebut tu wajib dipatuhi oleh semua aliran pendidikan, maka jawab satu atau dua atau tiga soalan yang mudah.


"Advanced Levels (A-Levels) itu memenuhi syarat itu, tidak. International Baccalaureate (IB) memenuhi syarat itu ke? Tidak. Sijil IGCSE (International General Certificate of Secondary Education) memenuhi syarat itu? Tidak.


"Sebenarnya dia (Akmal) tahu ke tidak kebanyakan pelajar UEC sebenarnya menduduki SPM juga, pasti dia tak tahu.


"Tetapi semua it (A-Levels, IB, IGCSE) diiktiraf dan dibenarkan beroperasi di dalam Malaysia termasuklah menerima kelulusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)," katanya dalam satu video di muat naik di TikTok beliau.


Dalam video sama, Howard sekali lagi mempersoalkan siapa sebenarnya yang gagal dalam ujian fakta.


"A-Levels bukannya guna Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. IB (pun) tak ikut kurikulum kebangsaan.


"IGCSE tak duduki peperiksaan SPM atau STPM pun. Kalau ikut logik Akmal yang tak berapa logik itu, semua ini patut ditolak dan tak diiktiraf IPTA atau IPTS.


"Tapi dia tak berani sebut. Kenapa? Logiknya sendiri tak konsisten dan sebenarnya salah. Jadi persoalannya bukan pasal dasar pendidikan negara pun bagi dia, persoalannya adalah siapa yang mahu dia serang dan kenapa dia mahu serang," soal beliau lagi.


Dalam pada itu, Howard turut bertanya kepada Akmal, sekiranya UEC tidak selaras dengan dasar pendidikan negara, maka adakah A-Levels, IB dan IGCSE itu selaras dengan kurikulum kebangsaan.


"UEC tak selaras, tapi A-Levels, IGCSE, IB selaras ke? Itu bukan dasar, itu double standard dan hujah yang tak ada standard.


"Malaysia memang sebuah negara yang berpendidikan pelbagai aliran dari dulu sampai sekarang, ini fakta sejara, fakta undang-undang dan fakta realiti.


"Yang tak faham ini bukan rakyat, rakyat faham tetapi mereka yang sengaja tutup mata tutup telinga buat-buat tak tahu," bidas beliau lagi.


Kata Howard lagi, yang paling 'pelik bin ajaib' adalah ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri (PM) dan beberapa orang pemimpin parti Akmal sendiri termasuk sekarang yang ada dalam Kabinet, pernah menjanjikan tentang pengiktirafan UEC menjelang pilihan raya.


"Mereka juga tak faham dasar pendidikan negara ke saudara Akmal? Saudara suruh saya tengok cermin, udahlah saya tengok cermin. Berapa kali dah.


"Sekarang giliran saudara tanyalah diri sendiri. Adakah saudara benar-benar pertahankan dasar pendidikan negara saudara cuma pertahankan prejudis diri sendiri,” soal beliau lagi.


Semalam, Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin dilapor, menegaskan pendirian tegas menolak pengiktirafan UEC dan merayu kepada PM agar tidak tunduk kepada desakan untuk mengiktiraf sijil tersebut.


Beliau berkata ini kerana UEC tidak selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan kerana sistem peperiksaan itu tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama serta tidak mengikuti kurikulum kebangsaan seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page