Akmal jangan gopoh 'serang' PMX, MoF dedah KKDW belanja lebih peruntukan
- Helmi Mohd Foad

- 1 hour ago
- 2 min read

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh disaran meneliti terlebih dahulu fakta mengenai peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebelum mempersoalkan kemampuan kerajaan membayar kontraktor.
Ketua Pemuda AMANAH Perak, Khairol Najib Hashim (gambar) berkata penjelasan Kementerian Kewangan (MOF) menunjukkan tiada sekatan dibuat terhadap peruntukan KKDW sebaliknya isu pembayaran timbul selepas peruntukan tahun semasa hampir dibelanjakan sepenuhnya.
"Malah angka didedahkan MoF menunjukkan KKDW sejak beberapa tahun lalu berbelanja melebihi peruntukan tahunan yang diluluskan.
"Jadi sebelum mahu ‘tiaw’ PMX dan mempersoalkan kerajaan tidak cukup duit, mungkin elok Akmal bertanya dahulu apa yang berlaku di kementerian yang dipimpin oleh Presiden partinya sendiri," kata beliau dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan MoF, KKDW pada 2023 diperuntukkan RM1.1 bilion tetapi membelanjakan RM1.8 bilion.
Pada 2024 pula, RM1.3 bilion diperuntukkan berbanding RM2 bilion dibelanjakan manakala pada 2025 peruntukan RM1.6 bilion berbanding perbelanjaan sebenar RM2.3 bilion.
Khairol berkata keadaan itu menunjukkan isu yang berlaku bukan sekadar persoalan sama ada kerajaan mempunyai wang atau sebaliknya tetapi turut melibatkan pengurusan komitmen dan perbelanjaan kementerian.
Katanya, MOF juga telah meluluskan RM300 juta pada 2026 bagi membantu menyelesaikan tunggakan pembayaran kepada kontraktor.
Malah MOF sedang mengenal pasti penjimatan daripada kementerian lain bagi membantu menampung keterlebihan komitmen KKDW, jelas beliau.
"Mudah kata, kementerian lain mungkin perlu berjimat untuk membantu menampung komitmen berlebihan yang telah dibuat oleh KKDW," katanya.
Beliau berkata Pemuda AMANAH Perak tidak berminat menjadikan isu berkenaan sebagai pertelingkahan sesama parti Kerajaan Perpaduan kerana perkara paling penting adalah nasib kontraktor yang telah melaksanakan kerja dan berhak menerima bayaran.
Namun katanya apabila tuduhan dilemparkan secara terbuka terhadap kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, fakta juga perlu dijelaskan secara terbuka.
"Kritiklah kerajaan jika ada kelemahan. Itu hak sesiapa sahaja.
"Tetapi jangan tembak dahulu, semak kemudian.
"Takut akhirnya peluru yang dilepaskan terkena kementerian sendiri," katanya.
Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membangkitkan isu kelewatan pembayaran kepada kontraktor yang melaksanakan projek di bawah kementeriannya.
Isu itu kemudian mendapat perhatian MOF yang menjelaskan bahawa tiada sekatan terhadap peruntukan KKDW bagi projek jalan luar bandar sebaliknya peruntukan berkenaan telah disalurkan sepenuhnya.
MOF berkata kekangan pembayaran berlaku selepas peruntukan tahun semasa hampir dibelanjakan sedangkan KKDW mempunyai komitmen yang dibuat dari tahun-tahun sebelumnya.
Dalam perkembangan sama, KKDW turut mengambil langkah kawalan bagi menangani isu berkenaan termasuk menyusun semula peruntukan dalaman dan mengawal komitmen baharu.




Comments