Akmal calon MPP, mahu KEADILAN kekal utamakan denyut nadi rakyat
- Suara Keadilan
- May 9
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Anggota KEADILAN perlu terus cekal mempertahankan idealisme dan mengotakan prinsip parti sekali gus berjuang untuk menyelami denyut nadi rakyat.
Menurut Pengarah Strategi KEADILAN, Akmal Nasrullah Mohd Nasir meskipun banyak dugaan dan pancaroba, prinsip parti yang dilaungkan sejak sekian lama perlu ditunaikan.
''Ingatan ini yang saya semat tatkala berhasrat untuk bertanding sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada kali ini.
''Jika kita gagal mendengar dan bertindak berdasarkan pengharapan pendokong dan rakyat, ingatan terakhir yang akan datang kepada mana-mana parti politik pun adalah dijahanamkan rakyat pada pilihanraya.
''Kita berusaha membawa kelainan dalam menguruskan pentadbiran negara mahupun parti dan terus menjadi contoh tauladan buat parti-parti politik lain selain menjadi parti politik mendepani zaman,'' katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam pada itu, Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru menyifatkan tanggungjawab KEADILAN kepada rakyat dan negara sudah berbeza berbanding sebelumnya yang kini menyaksikan parti itu merupakan sebahagian daripada Kerajaan.
Ujarnya, rakyat memberi sepenuh pengharapan supaya KEADILAN untuk menyelesaikan permasalahan kehidupan seharian mereka setelah menjadi sebahagian daripada Kerajaan.
''Sepanjang dua tahun dan lima bulan diberi sedikit peranan dalam Kerajaan sebagai Timbalan Menteri, saya berusaha sedaya upaya menelaah dan fokus terhadap permasalahan yang membelenggu kita sejak sekian lama.
''Dari bergelumang dengan projek perumahan sakit yang memangsakan puluhan ribu mangsa setiap tahun di KPKT sehinggalah memastikan pelaksanaan ikhtiar untuk menamatkan isu bekalan air sejak sekian lama dilaksanakan dengan baik.
''Apabila berperanan dalam Kerajaan, kita berusaha sedaya upaya menjaga nama baik KEADILAN sebagai parti yang boleh diharap rakyat, jauh sekali daripada sekadar menjadi pemanas kerusi,'' katanya lagi.
Comments