top of page

Akhlak empati asas bendung budaya buli - Dr Wan Azizah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 24
  • 1 min read
ree

Isu buli yang semakin membimbangkan dalam kalangan remaja perlu ditangani segera dengan pendekatan menyeluruh, tegas Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.


Menurutnya, fenomena buli yang kian menonjol sejak kebelakangan ini bukan sekadar masalah disiplin, tetapi antara pencetus kepada isu kesihatan mental dalam kalangan anak muda.


"Sekarang ini yang paling menonjol ialah buli. Adakah ini berpunca daripada akhlak kita? Anak-anak kita seperti mudah untuk membuli orang lain, adakah ia kini dianggap trend? Kita mahukan akhlak yang mulia, budi pekerti yang baik serta rasa empati dan kasih sayang sesama manusia.


"Isu ini perlu ditangani segera dengan tindakan holistik daripada semua pihak termasuk keluarga, sekolah dan masyarakat," kata Isteri Perdana Menteri itu dipetik.


Terdahulu Wan Azizah hadir merasmikan Program Kesedaran Kesihatan Mental Bandar Tun Razak 2025 bertemakan “Suka dalam Duka” yang berlangsung pada Sabtu.


Acara yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar itu menghimpunkan lebih 150 peserta daripada golongan B40 termasuk pelajar sekolah, ibu tunggal dan mualaf.


Pelbagai pengisian dibawakan pada program itu termasuk siri ceramah, saringan kesihatan mental dan khidmat intervensi kaunseling yang akan diteruskan hingga November depan.


Sementara itu Dr Wan Azizah pada ucapannya turut mengingatkan orang ramai yang berdepan cabaran kesihatan mental supaya tidak teragak-agak mendapatkan bantuan melalui saluran rasmi disediakan kerajaan seperti Talian Kasih dan Talian Heal.


Dalam masa sama beliau menggesa masyarakat bersama-sama menyokong, membantu, memahami dan berempati terhadap mereka yang diuji dengan masalah tersebut.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page