Akaun keldai: PDRM selamatkan RM34 juta wang mangsa penipuan
- Suara Keadilan

- Jan 27
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelamatkan sebanyak RM34 juta wang mangsa penipuan membabitkan transaksi ke 'akaun keldai' menerusi penguatkuasaan subseksyen baharu Seksyen 424A hingga 424C Kanun Keseksaan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata daripada jumlah keseluruhan itu, RM17.5 juta telah disita dan dibekukan manakala RM6.7 juta berjaya dipulangkan sepenuhnya kepada mangsa setakat tahun lalu.
"Angka RM6.7 juta ini bukan diambil secara rambang. Ia melibatkan wang mangsa yang benar-benar berjaya kita selamatkan dan pulangkan semula.
"Bagi tahun 2024, jumlah wang mangsa yang berjaya diselamatkan ialah RM508,479.39, manakala pada 2025, peningkatan ketara dicatatkan dengan nilai pemulangan sebanyak RM6.7 juta, hasil tindakan pantas PDRM bersama Bank Negara Malaysia," katanya ketika menjawab soalan tambahan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) pada sesi soal jawab Dewan Rakyat hari ini.
Saifuddin menjelaskan, sepanjang tahun lepas, jumlah kerugian akibat penipuan mencecah RM542 juta, namun secara keseluruhan pihak berkuasa berjaya menghalang RM34 juta daripada terus lesap ke akaun keldai melalui penguatkuasaan peruntukan undang-undang baharu.
Peningkatan nilai wang yang berjaya diselamatkan turut dibantu oleh pengoperasian Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 secara 24 jam, yang kini menerima purata sekitar 500 panggilan sehari, dengan hampir separuh daripadanya merupakan aduan tulen, katanya.
"Menyelamatkan dan memulangkan wang adalah dua perkara berbeza kerana siasatan masih berjalan, namun usaha ini akan terus diperkasakan melalui penambahbaikan SOP dan penelitian amalan terbaik negara lain," katanya.
Dalam pada itu Saifuddin menjelaskan PDRM telah membuka 61 kertas siasatan di bawah subseksyen baharu Seksyen 424A hingga 424D Kanun Keseksaan yang diperkenalkan khusus bagi membanteras penggunaan akaun keldai dalam jenayah penipuan dalam talian.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 51 kes direkodkan di bawah Seksyen 424A, dengan 20 kes telah dituduh di mahkamah dengan tiga kes berstatus tiada tindakan lanjut, tujuh kes sebagai kemas untuk simpan manakala 21 kes masih dalam siasatan.
Beliau berkata, satu kes direkodkan di bawah Seksyen 424B yang masih disiasat, 10 kes di bawah Seksyen 424C juga masih dalam siasatan, manakala tiada laporan atau kes direkodkan setakat ini di bawah Seksyen 424D.
"Seksyen 424A merupakan subseksyen yang paling banyak digunakan kerana ia melibatkan pemilikan atau kawalan terhadap instrumen pembayaran seperti kad ATM, kad debit, kad kredit atau akaun bank yang sering disalahgunakan untuk tujuan penipuan," katanya.




Comments