Akan berulangkah kejayaan 2018 pada PRU 15?
- Suara Keadilan
- Nov 18, 2022
- 3 min read

Oleh: Redzuan Shamsudin
ULASAN: Hari ini merupakan penutup kepada kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 untuk pada esok hari rakyat Malaysia akan membuang undi.
Berbanding PRU 14 yang berlaku kebangkitan rakyat secara besar besaran dua bulan sebelum hari pembuangan undi yang berjaya menumbangkan kerajaan BN pada 8 Mei 2018, pilihan raya kali ini tidak jelas kelihatan pihak mana yang akan menang.
Cuma agensi tinjauan pendapat menjangka Pakatan Harapan (PH) mempunyai kelebihan jumlah kerusi yang akan diperolehi. Manakala kerajaan yang bakal dibentuk selepas 19 November hampir pasti secara campuran, dan bukan lagi seperti sejarah PRU sebelum ini yang mana gabungan tertentu mendapat jumlah kerusi melepasi 112 majoriti mudah.
PH dapat momentum
Bagaimanapun berdasarkan dapatan tinjauan, PH telah mendapat momentum kebangkitan yang berbeza daripada sebelumnya. Jika pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor PH dipertikaikan kerana kalah teruk, terutama KEADILAN dan Amanah yang menyebabkan beberapa penganalisa politik meletakkan kedua dua parti itu tidak akan menang lebih 50 kerusi parlimen secara bersama, kali ini badi kekalahan dianggap tidak akan berulang.
Penyebab kekalahan dalam PRN Melaka dan Johor adalah akibat bukan Melayu dan pengundi Atas Pagar yang tidak teruja keluar mengundi. Sedangkan PH mendapatkan paling banyak sokongan daripada kelompok tersebut. Angka keluar mengundi sekitar 60% di Melaka dan bawah 60% di Johor menyebabkan Umno BN menang besar lebih 2/3 kerusi DUN.
Namun berbeza dengan PRU 15, kajian yang dibuat oleh Institut Darul Ehsan misalnya menunjukkan faktor keluar mengundi kali ini bakal mencecah 80% menghampiri paras PRU 2018. Maka hasil yang dijangkakan juga berbeza.
Jika pada PRU 14 formula kemenangan PH adalah pengundi DAP dan KEADILAN kekal beri sokongan padu tetapi pengundi Umno berpecah kerana wujudnya Bersatu dan pengundi Pas berpecah kerana wujudnya Amanah, menyebabkan PH mendapat undi terbesar, kali ini formulanya berbeza.
Skandal LCS, pemenjaraan Najib
Perubahan pola sokongan berlaku setelah terbongkarnya skandal pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) dan pemenjaraan bekas Perdana Menteri Najib Razak di bawah tuduhan korupsi. Dua isu besar ini memalingkan penyokong yang bukan ahli Umno daripada terus mengundi parti itu dan menjauhkan segmen pengundi muda (18 - 22 tahun) daripada BN.
Anak muda 18 - 22 tahun berbangsa Melayu kemudiannya tertarik kepada alternatif baharu iaitu PN. Sehingga terdapat agensi tinjauan yang menetapkan 79 kerusi Melayu terancam akibat kemaraan PN, terutama di Felda dan luar bandar. Dapat dipastikan undi Melayu kali ini akan berpecah kepada dua blok besar lewat kempen 'bersih dan stabil' PN. Orang Melayu melihat PN adalah penerus kepada BN. Namun peralihan sokongan itu di banyak kawasan sedaya upaya dikekang BN dengan kewangan yang banyak. Akibatnya kawasan majoriti Melayu akan mengalami keadaan tarik-menarik sokongan yang kronik sesama parti Melayu.
Formula kemenangan PH kali ini akan sukses akibat salah langkah PN dan BN bersaing dalam segmen pengundi yang sama. Pas pula meneruskan tradisi gopoh mengeluarkan fatwa sehingga muncul kembali kenyataan 'kafir harbi' sebagai musuh utama menyebabkan kaum Cina dan India ketakutan. Ketakutan itu akan menyebabkan undi bukan Melayu semakin solid kepada PH.
Malah kenyataan Pas bahawa 'mengundi BN dan PH masuk neraka' pula menjauhkan sokongan Melayu profesional dan sederhana yang menolak politik retorik.
PH boleh menang di kawasan marginal
Sokongan pengundi di kawasan yang mempunyai 30% atau lebih pengundi bukan Melayu memungkinkan PH menjadi pilihan utama untuk menang kerana undi bukan Melayu solid dan PH hanya perlu mencari sekitar 15% undi Melayu. Manakala pengundi Melayu biar pun setinggi 70% di kawasan berkenaan telah berpecah 3 dengan PN dan BN mengambil kira kira 50% daripadanya.
Dengan formula tersebut maka tidak hairan PH diramal menguasai sehingga 100 kerusi parlimen. Malah sekiranya berlaku perubahan pola sokongan yang sama di Sabah dan Sarawak maka tidak mustahil PH boleh melepasi angka 114 kerusi dengan mudah.
Hal itu tidak mengambil kira segmen pengundi di Pantai Timur Semenanjung yang mungkin mendapat tempias ketidakpuasan hati terhadap pentadbiran Pas di Kelantan.
PRU lantik PM
Namun dalam tinjauan 3 hari terakhir, berlaku satu lagi gelombang, iaitu 'pilihan raya melantik PM'. Oleh kerana hanya 3 negeri yang membubarkan DUN maka banyak pengundi tidak terikat untuk mengekalkan Kerajaan Negeri dan tidak perlu terlalu banyak pertimbangan.
Ditambah pula gabungan utama yang bertanding telah meletakkan poster boy masing masing, seperti Datuk Seri Anwar untuk PH, Tan Sri Muhyiddin untuk PN dan Datuk Seri Ismail Sabri untuk BN maka pengundi lebih mudah terkesan dengan naratif memilih PH tanpa memikirkan siapa calon yang bertanding di parlimen.
Dalam tiga tokoh tersebut tentu sekali Anwar mengungguli, kecuali kepada anak muda yang dibuai emosi dan tidak begitu faham politik.
Sesungguhnya PRU 15 adalah ibu kepada segala pilihan raya di Malaysia kerana pengundi terpecah akibat begitu banyak gabungan dan terlalu banyak calon Bebas yang mencuba nasib.
Comments