Anwar - September: Dipecat, dipenjara dan Masyarakat Madani
- Suara Keadilan
- 3 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Senator Dr Zulkifli Hassan
ULASAN: 2 September 1998: Hari ini dalam sejarah. Dilucutkan jawatan, dipenjara dan kembali bangkit.
Idealisme masyarakat Madani yang diperjuangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) telah mula subur sejak beliau bersama rakan-rakan sekolahnya di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) menggerakkan Badan Revolusi Ugama (BRU) dan Kelab MaraMunJangan (Mara Ke Hadapan Mundur Jangan).
Selain mengkaji nilai-nilai indah manusiawi dalam Islam, PMX dan rakan-rakannya seperti Tan Sri Sanusi Junid (Allahyarham), Datuk Sri Fauzi Abdul Rahman dan Tan Sri Yahya Ahmad (Allahyarham) yang ketika itu masih di bangku sekolah menengah, sudah mula menekankan aspek-aspek dalam gagasan madani.
Selain memberikan tuisyen secara percuma kepada anak-anak kampung sewaktu musim cuti persekolahan, mereka turut gigih menubuhkan tabung kewangan bagi membantu pelajar MCKK dan kawasan sekitar yang kesempitan wang atau (para pelajar) tidak mampu membeli tiket untuk pulang ke kampung.
Ia kemudiannya dikembangkan lagi apabila PMX dan rakan-rakannya memimpin arus kebangkitan mahasiswa dan anak muda menerusi ABIM, PKPIM, MBM, PBMUM, IIFSO, WAMY dan IIIT.
Generasi semangat darah muda

Ketokohan anak-anak muda ABIM yang terkenal dengan gelaran ‘The Angry Youngmen’ (Generasi Semangat Darah Muda) ketika itu seperti PMX, Ustaz Dr Siddiq Fadzil, Ustaz Fadzil Noor, Ustaz Ni’amat Yusoff, Ustaz Dr Razali Nawawi dan lain-lain memberikan impak besar kepada masyarakat.
Daripada mengasaskan Yayasan Anda Akademik (YAA) sehinggalah ditahan dan dipenjarakan selama hampir dua tahun kerana terlibat dalam Demonstrasi Baling 1974, perjuangan PMX untuk membela nasib golongan miskin dan terpinggir adalah konsisten dan teguh.
Era Masyarakat Madani bermula
Sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri, PMX pada 26 September 1995 mula mengemukakan istilah ‘masyarakat madani’ ketika menyampaikan pidato sewaktu Simposium Nasional dalam rangka Forum Ilmiah Festival Istiqlal di Jakarta, Indonesia.
Konsep ini kemudiannya dikembangkan lagi oleh deretan cendekiawan ulung dalam Konvensyen Masyarakat Madani di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 19-21 September 1996 dan turut dikupas secara mendalam menerusi karya DSAI, “The Asian Renaissance”.

Antara yang membentangkan kertas kerja dalam program tersebut adalah Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al Attas; Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil, Prof Datuk Dr Osman Bakar, Prof Dr Nik Safiah Nik Karim, Prof Dr Mohammad Kamal Hassan, dan Dr Muhammad Ali Hashim.
Memetik kata-kata PMX, “Kalau takut dengan risiko, usah bicara tentang perjuangan!” Hasbunallah wanikmal wakil.
Penulis merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).