Air tidak berhasil: Kerajaan sedia geran kepada negeri - Nik Nazmi
- Suara Keadilan
- Nov 22, 2023
- 1 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Negara mengalami kerugian sebanyak RM2 bilion setahun akibat masalah kadar air tidak berhasil (NRW) yang mencecah 37.2 peratus, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
Menurut Nik Nazmi Nik Ahmad, susulan perkara itu, kerajaan mengadakan program pengurangan NRW dengan peruntukan RM1.37 bilion secara geran sempadan diperkenalkan bagi negeri-negeri yang mencatat kadar air tidak berhasil di bawah 40 peratus.
Katanya, negeri yang mengalami lebih 40 peratus NRW, operator air akan mandapat geran terus daripada Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) dalam sidang Dewan Rakyat hari ini mengenai peruntukan untuk memastikan empangan di Melaka mampu berfungsi seterusnya menjamin bekalan air mencukupi di negeri itu.
Sementara itu, ketika bercakap dalam program Selamat Pagi Malaysia di TV1 hari ini, Nik Nazmi menjelaskan kerajaan berhasrat menjadikan sektor air bukan lagi dilihat sebagai aspek kebajikan sebaliknya satu nilai yang boleh dilabur oleh operator air di negara ini menjelang tahun 2040.
Beliau berkata, kementerian sedang giat berusaha ke arah itu namun perlu terlebih dahulu menangani isu NRW kerana air yang dirawat tidak sampai ke akaun pengguna hingga hampir 60 peratus.
"Air yang dirawat dalam loji tidak sampai ke akaun pengguna sama ada ada dicuri atau sebenarnya yang banyak berlaku adalah bocor disebabkan paip lama dan purata negara kita bagi air tersebut adalah sekitar 35 peratus tapi ada negeri yang sampai 60 peratus.
"Ini bermakna lebih separuh daripada yang dirawat tak sampai (kepada pengguna), jadi kita sedang cuba lihat untuk perbaiki dan kita juga telah meluluskan untuk memudahkan geran bagi NRW serta pembaikian ini diakses oleh operator air negeri," katanya.
Comments