top of page

Air Selangor usaha kurangkan NRW, selesai ganti 1,000km paip usang

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 days ago
  • 1 min read

Proses penggantian paip air disegerakan. Foto kredit: Portal Kerajaan Selangor
Proses penggantian paip air disegerakan. Foto kredit: Portal Kerajaan Selangor

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) terus memperkukuh komitmen mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) di negeri itu.

Syarikat itu memaklumkan, program penggantian paip menjadi tunjang utama strategi kelestarian infrastruktur air, khususnya bagi menangani paip simen asbestos (AC) yang berisiko tinggi bocor dan pecah, selain melindungi kesihatan awam serta alam sekitar.


Menerusi Laporan Impak Sukuk Kelestarian 2024–2025, syarikat itu memaklumkan, setakat 30 September lalu, 1,017 kilometer (km) paip usang telah berjaya diganti di seluruh Selangor sekaligus mencerminkan kesungguhan pentadbiran negeri dan Air Selangor memastikan bekalan air lebih cekap, mampan dan terjamin untuk rakyat Selangor.


"Secara keseluruhan, kira-kira 6,000km paip AC dikenal pasti perlu diganti, dengan sekitar 5,000km masih dalam perancangan.


"Tambahan 825km paip baharu siap dipasang sebagai sebahagian pelan jangka panjang meningkatkan kebolehpercayaan bekalan air dan mengurangkan kebocoran," kata mereka.


Kerajaan Persekutuan menyasarkan untuk mengurangkan penghasilan air tanpa hasil (NRW) kepada 28.8 peratus menjelang 2030.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sebelum ini berkata, masalah NRW menyebabkan negara kerugian lebih RM2 bilion setahun.


Sementara itu, Air Selangor mengakui pelaksanaan projek berdepan cabaran termasuk proses kelulusan permit yang panjang, penyelarasan antara agensi, aduan awam akibat gangguan sementara serta kekangan teknikal dan kontraktor.


Bagi menangani isu itu, Air Selangor komited menambah baik tadbir urus projek melalui penggunaan sistem penjejakan digital, pemantauan prestasi kontraktor dan penglibatan komuniti bagi meningkatkan ketelusan serta responsif terhadap keperluan rakyat.


Untuk rekod, Kerajaan Negeri menerusi Belanjawan Selangor 2026 memperuntukkan RM542.8 juta untuk meneruskan program penggantian paip usang, selain RM40.4 juta khusus bagi Program Penurunan NRW merangkumi pelbagai inisiatif teknikal utama.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page