Makcik Mastura, 67, merupakan seorang tokoh wanita Reformasi yang ikut sama sepanjang berdemontrasi di tengah-tengah kota Kuala Lumpur sejak 1998 lalu.
Kini selepas dua dekad, menghidapi sakit tua, beliau tinggal di sebuah rumah kecil di Kampung Padang Balang, Kuala Lumpur yang rosak teruk bumbungnya.
Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew segera menziarahi beliau semalam sebaik sahaja mendapat aduan dari Angkatan Muda KEADILAN (AMK) berkenaan keuzuran rumah Makcik Mastura.
"Saya menemui Makcik Mastura, 67 tahun di rumahnya di Kg Padang Balang sejurus mendapat laporan melalui AMK Wangsa Maju .
Luluh hati melihat keadaan rumah dengan bumbung berlubang dan siling yang hampir runtuh.
"Bila hujan lebat, macam air terjun air masuk rumah ni!" gomel Makcik Mastura kepada saya. Katilnya kini dialih ke dapur, itu sajalah tempat yang tidak ditimpa hujan. Apalah nasibnya," tulis Dr Tan dalam catatan Facebooknya.
Rumah Makcik Mastura sebagaimana digambarkan telah kehilangan sebahagian bumbung, siling yang pecah dan lampu yang rosak.
Namun sesuatu yang menyentuh hati bendera KEADILAN tetap menghiasi dinding rumah itu sebagai bukti kecekalan semangatnya.
Ketika disebut mengenai Ahli Parlimen yang berkhianat, menurut Dr Tan, Makcik Mastura meluahkan kebenciannya.
"Makcik Mastura cukup membenci pengkhianat yang memusnahkan perjuangan Reformasi. Kelantangan itu disuarakannya tanpa gentar, mahu saja dia melemparkannya kepada Muhyiddin dan Azmin.
"Aku boleh pergi jumpa dia... aku tak takut dengan kau... Aku dengan benci dia! Pengkhianat," katanya
"Saya percaya kebencian dan kehampaan Makcik Mastura turut dirasakan jutaan orang miskin yang ditindas dan rakyat yang telah mengundi untuk perubahan, tetapi harapan mereka telah hancur di tangan pengkhidnat yang menjual jiwa demi kekayaan dan nama," kata Dr Tan lagi.
Menurut beliau, walaupun Ahli Parlimen pembangkang telah dinafikan peruntukan kerajaan bagi melaksanakan projek-projek kecil membantu rakyat, beliau tetap akan berikhtiar dan berjanji mencari jalan serta sumber lain untuk membaiki rumah Makcik Mastura.
"Ketika saya ingin memberikan sedikit wang belanja, lantas dia menolak! Inilah darah sebenar pejuang Reformasi! Walaupun dalam kesusahan dan kepayahan, mereka menolak wang ringgit kerana semata-mata berkehendakkan perubahan kepada negara yang bersih dan berintegriti.
"Maaf Makcik Mastura, saya berjanji akan bekerja lebih keras lagi demi menyantuni rakyat seperti Makcik. Semangat Otai Reformasi tidak pernah mati
"Kami akan meneruskan perjuangan Otai Reformasi, perjuangan ini belum selesai. Saya yakin, Angkatan Muda KEADILAN kita akan ambil alih tampuk perjuangan seterusnya suatu hari nanti," tekad Dr Tan menutup catatan beliau.
Comments