
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bekalan bahan mentah untuk sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri mencukupi.
Justeru menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata rakyat tidak perlu bimbang sehingga membuat pembelian panik.
"Berbelanjalah dengan gembira dan jangan melakukan pembelian panik kerana semua bekalan sama ada sayur sayuran, ayam serta telur mencukupi.
"Pihak penguatkuasaan akan memantau bekalan setiap hari bagi memastikan ia mencukupi memandangkan permintaan tinggi menjelang Aidilfitri," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Bazar Ramadan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV semalam.
Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya membuat aduan sekiranya terdapat peniaga yang menaikkan harga barangan melebihi had ditetapkan.
"Kita berharap orang ramai dapat menyemak senarai harga barangan yang kita umumkan supaya senang untuk mengenal pasti sama ada peniaga berkenaan mengambil peluang menaikkan harga atau sebaliknya.
"Setiap aduan daripada orang ramai, kita akan ambil maklum," katanya.
Selain KPDN, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu sebelum ini turut memberi jaminan bekalan barangan asas seperti telur, ayam dan daging mencukupi menjelang Aidilfitri.
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga jelasnya turut telah diarahkan mengagihkan bekalan ke kawasan-kawasan yang mengalami kekurangan bekalan.