Aidilfitri angkat martabat insan, tanam sikap ihsan, kasih sayang
- Suara Keadilan
- Mar 31
- 1 min read

Perkara utama dalam kehidupan adalah memastikan kelangsungan hidup bermartabat dan bertamadun.
Bagi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kemunculan Hari Raya Aidilfitri selepas tarbiyah Ramadan adalah untuk meningkatkan ketakwaan, tawaduk dan mencambahkan sikap saling menghormati serta kasih sayang sesama manusia.
"Mudah mudahan dengan (tarbiyah Ramadan) pembentukan nilai baharu, memberi penegasan tentang disiplin, integriti dan juga kesihatan lebih baik.
"Di samping itu terus lebih prihatin kepada nasib jiran kita, kariah kita, dan masyarakat yang tersisih serta terbiar termasuklah dengan apa yang berlaku, bencana, malapetaka (juga) kezaliman di Gaza, Palestin," katanya dalam perutusan khas sempena Aidilfitri.
Katanya, dengan pertumbuhan ekonomi baik pada tahun ini, hal yang paling diutamakan adalah mengangkat taraf hidup rakyat agar tiada golongan terlalu daif atau yang hidup secara ala kadarnya.
Begitu juga hubungan antara kaum di Malaysia yang perlu diperkukuhkan untuk mengekalkan kestabilan negara dan merancakkan lagi ekonomi.
"Kita terus menjana pertumbuhan ekonomi, tetapi saya tegaskan kekuatan akhirnya adalah kejayaan kita mengangkat taraf hidup rakyat terbanyak.
"Oleh itu baik Ramadan serta Aidilfitri kita terus tekankan kepentingan mengangkat martabat insan, sebagai mahkluk yang merdeka menjalin hubungan dengan penganut yang lainnya.
"Ini perlu kita pertahankan, tanpa sikap hormat menghormati antara satu sama lain dan menanam sikap ihsan serta kasih sayang sesama kita, negara ini tidak akan dapat menjamin kestabilan juga keamanan yang diharapkan," katanya.
Dalam perutusan itu juga, PM Anwar menyusun sepuluh jari memohon kemaafan dari seluruh rakyat Malaysia dan berharap akan mampu berusaha lebih keras untuk memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
"Termasuk dari saya, dengan kekurangannya untuk memohon kemaafan kepada rakyat dan InsyaAllah akan melakukan sebaiknya islah untuk kebajikan semua," katanya lagi.
Комментарии